DOHA, 25 NOV – Iran bangkit dengan kemenangan 2-0 menentang pasukan 10 pemain Wales pada hari ini selepas skuad kendalian Carlos Queiroz menjaringkan dua gol pada penghujung perlawanan untuk mengekalkan kempen Piala Dunia mereka.
Pemain Iran, yang menyanyikan lagu kebangsaan mereka sebelum sepak mula, menaikkan semangat dan suasana riuh para penyokong di Stadium Ahmad bin Ali selepas menewaskan pasukan dari Eropah buat pertama kali dalam Piala Dunia.
Penjaga gol Wales, Wayne Hennessey menjadi mangsa pertama yang diarahkan keluar padang dalam kejohanan di Qatar selepas bertembung dengan Mehdi Taremi di penghujung permainan.
Cubaan Iran yang sebelum ini asyik terkena palang gawang sebanyak dua kali, akhirnya menemui jaring gol pada minit ke-98 melalui pemain simpanan, Rouzbeh Cheshmi.
Ramin Rezaeian menambah gol kedua Iran melalui serangan balas tiga minit kemudian.

Iran, yang bakal tersingkir sekiranya kalah, sebaliknya menginjak ke kedudukan kedua dalam Kumpulan B, di belakang England, yang menundukkan mereka 6-2 semasa aksi pembukaan.
“Kami perlukan para penyokong untuk terus menyokong kami seperti selalu,” kata penyerang Iran, Taremi.
“Walaupun mereka yang berada di Iran menonton melalui TV, kami perlukan aura positif mereka dan kami akan memenangi perlawanan seterusnya kerana kami punyai impian dan kami mahu menjadikan ia satu kenyataan.”
Wales tersungkur ke kedudukan tercorot dalam kumpulan dan perlu menewaskan England dalam aksi akhir mereka minggu depan untuk mencapai ke kelompok 16 terakhir dalam Piala Dunia mereka sejak 1958.
“Kami berasa kecewa. Tiada cara lain untuk mengungkapkannya. Kami telah berjuang sehingga ke saat terakhir. Ia sukar untuk diterima tetapi kami perlu bangkit kembali dan teruskan berusaha,” kata kapten Wales, Gareth Bale kepada BBC. – AFP