Kad raya singkap kenangan lama

Oleh Nurdiyanah R.

Masa itu tidak dapat diputar kembali namun nilai kenangan yang tersirat tetap terpahat segar dalam sanubari. Apabila mengimbau kenangan silam, setiap kali menjelangnya 1 Syawal, kedatangan ‘abang posmen’ pastinya saat yang amat dinanti-nantikan bersama kiriman kad raya daripada ahli keluarga, saudara-mara dan juga sahabat-handai yang jauh di mata namun dekat di hati.

Kad raya umpama satu tanda ingatan tulus ikhlas namun hakikatnya dengan peredaran zaman, keghairahan dalam meluangkan masa mengirim kad berkenaan sudah semakin pupus. Sayang seribu kali sayang, mungkin hanya tinggal kenangan sekarang apabila ucapan ‘Selamat Hari Raya’ dan ‘Maaf Zahir dan Batin’ itu hanya sekadar ungkapan yang banyak menyemarakkan ruang-ruang aplikasi maya antaranya WhatsApp, Facebook, Instagram dan Twitter menjelang ketibaan hari lebaran.

“Jika dahulu, kemeriahan kiriman kad hari raya itu amat terasa. Bayangkan sekitar era 60an dan 70an, antaranya masyarakat yang menetap di Kampong Ayer akan menunggu kehadiran posmen di kawasan luar beranda rumah ketua kampung mereka. Keceriaan jelas terpancar pada wajah mereka apabila menyaksikan posmen bertandang menggunakan sebuah perahu khas berwarna merah sambil membawa naik bungkusan mengandungi kad-kad Hari Raya.

“Setelah tangan menerima kad kiriman yang dinanti-nanti, ada yang tersenyum tersipu malu, ada yang tertawa bahkan ada juga yang sebak sehingga menitiskan air mata tatkala membaca kata-kata yang tertulis di dalamnya kerana rindu terkenangkan insan-insan tersayang yang tinggal di perantauan selama ini disebabkan menanai amanah tugas mahu pun meneruskan pengajian di luar negara,” ujar Haji Muhammad Ruzaini bin Haji Mohd Daud selaku pegawai penyelidik, Arkib Negara Brunei Darussalam, Jabatan Muzium-Muzium, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, semasa berkesempatan merakamkan detik-detik perkongsian daripada cerita orang tua-tua tanah air kita apabila menyoroti nostalgia pengiriman kad ucapan menjelangnya Hari Raya Aidilfitri suatu ketika dahulu kepada penulis, baru-baru ini.

Suasana penuh kesibukan pengiriman suatu masa lalu

Ketika menyebut mengenai perkhidmatan pengiriman, Haji Muhammad Ruzaini menjelaskan bahawa Jabatan Perkhidmatan Pos memang memain-kan peranan penting dalam bidang ini. Berdasarkan laporan yang diperoleh pada tahun 1986, masa itu jabatan berkenaan telah mengatur langkah bagi menghadapi kesibukan dalam menguruskan perkhidmatan penghantaran kad-kad ucapan Hari Raya mengikut zon-zon pengiriman tertentu dan setiap ruangan di jabatan berkenaan dipenuhi dengan longgokan guni-guni yang berisi kad-kad raya untuk dihantar.

Haji Muhammad Ruzaini semasa berkesempatan merakamkan detik-detik perkongsian daripada cerita orang tua-tua tanah air dalam menyoroti nostalgia pengiriman kad ucapan menjelangnya Hari Raya Aidilfitri suatu ketika dahulu kepada penulis, baru-baru ini.

Antara kad raya yang terdapat di dalam koleksi Arkib Negara Brunei Darussalam.
Suasana Jabatan Perkhidmatan Pos pada suatu ketika dahulu yang menerima pengiriman kad raya daripada orang ramai menjelangnya bulan Syawal. – Gambar serahan Arkib Negara Brunei Darussalam
Kakitangan Jabatan Perkhidmatan Pos sibuk menguruskan perkhidmatan penghantaran kad ucapan Hari Raya mengikut zon-zon pengiriman tertentu. – Gambar serahan Arkib Negara Brunei Darussalam

Tambahnya, jabatan berkenaan juga menggalakkan orang ramai untuk melakukan pengiriman kad raya dalam tempoh lebih awal bagi memastikan kad ucapan mereka sempat dikirimkan ke destinasi pada masa yang tepat. Di samping itu, pekerja-pekerja tambahan juga diperlukan bagi membantu untuk melancarkan kerja-kerja penghantaran kad-kad raya dan kerja-kerja pengelasan (sorting) serta pemeriksaan setem dalam kad yang ingin dihantar. Malah jualan setem juga sering kali dicatatkan meningkat seiring dengan peningkatan jumlah perkhidmatan penghantaran kad ucapan hari raya terutamanya menjelang musim perayaan.

Lebih 400 keping koleksi kad raya

Sehubungan dengan itu, Haji Muhammad Ruzaini turut berkongsi terdapat kira-kira 411 keping kad Hari Raya Aidilfitri yang terkumpul dalam koleksi Arkib Negara Brunei Darussalam secara keseluruhannya yang mana rata-rata koleksi berkenaan ada yang berusia lebih 40 tahun ke atas dan kad-kad berkenaan memiliki pelbagai corak dan bentuknya yang tersendiri.

“Secara umumnya, peranan kad raya ini dijadikan sebagai pengganti diri untuk menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada insan-insan terdekat yang dikenali bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara pengirim dengan penerima. Kebiasaannya, sesebuah ucapan itu diungkapkan dalam bahasa indah dan kreatif.

“Sesetengahnya menyelitkan pantun, kiasan bahkan juga dalam bentuk karangan ringkas sambil memohon maaf zahir dan batin atas segala kesilapan yang pernah dilakukan. Pastinya dalam kad-kad berkenaan turut terkan-

dung ucapan bagi menjemput kunjungan ke rumah dan begitu juga diakhiri dengan tanda tangan pengirim di bahagian bawah atau belakang kad,” ujarnya lagi sambil menunjukkan antara koleksi kad raya sekitar tahun 1973.

Sentuhan arus evolusi kad raya

Dalam pada itu, Haji Muhammad Ruzaini juga berkata dari tahun ke tahun, memang tidak dinafikan kemajuan teknologi sedikit sebanyak telah memberikan kesan kepada tradisi pengiriman kad raya ini. Jika dilihat sekarang, kebanyakan ucapan Hari Raya disampaikan melalui beberapa perkhidmatan lain seperti sistem pesanan ringkas (SMS), Multimedia Messaging Service (MMS), Graphics Interchange Format (GIFs), aplikasi pintar lain menerusi pelbagai media sosial yang lebih bersifat rantaian di mana ia boleh disimpan dan di forward kepada kontak-kontak yang lain.

“Namun hakikatnya, jika kita menilai dari hati, suasana ucapan kad raya klasik itu lebih menonjolkan keistimewaan ciri-ciri keikhlasan, kejujuran dan kesungguhan di dalam penyampaian maksud dan tujuan berbanding apabila ia dihantar dan dikongsi secara dalam talian begitu sahaja,” ucapnya dengan penuh ketulusan.

Di samping itu, beliau turut berkongsi pandangan penelitian peribadi di mana kegigihan dan kreativiti masyarakat era 60an hingga 70an cukup terserlah terutamanya apabila melihat hasil kad raya yang dilukis dan dilakar sendiri dengan menampilkan tema Hari Raya seperti suasana pemandangan, bunga, masjid, bulan dan sebagainya.

“Lebih menarik lagi apabila ada yang turut menyelitkan gambar diri sendiri dan pasangan dalam lukisan tersebut. Alat yang digunakan untuk melakar se-sebuah lukisan bagi menghasilkan kad raya itu hanya dengan menggunakan pensel,” ujarnya sambil tersenyum.

Beliau menambah hasil lukisan yang sudah dilakar itu kemudiannya dibawa ke kedai gambar untuk dijadikan sebagai kad Raya yang mana warna kad pada masa itu adalah hitam putih dan tempahan biasanya dapat disiapkan dalam tempoh masa satu minggu. Namun ketika melangkah ke tahun 80an hingga 90an, kad raya yang dipasarkan bukan sahaja dalam pelbagai jenis dan bentuk bahkan ada juga di antaranya turut dilengkapi dengan irama dan muzik lagu Hari Raya, manakala yang lainnya diberikan sentuhan gaya rekaan pengirim menerusi teknik atau proses ala digital menggunakan komputer.

Ketelitian dalam penjagaan

Mengetahui akan nilai-nilai khazanah, kenegaraan dan warisan yang terdapat dalam sesebuah koleksi rekod arkib itu, maka sudah tentunya ia dijaga dengan begitu teliti. Maka dalam hal ini, Haji Muhammad Ruzaini menekankan bahawa semua koleksi arkib di Arkib Negara Brunei Darussalam sentiasa terpelihara bukan sahaja dengan memastikan lokasi penyimpanan yang bersih, susunan yang rapi dan teratur bahkan juga suhu serta penataan cahaya yang bersesuaian dalam ruang penyimpanan itu juga harus dititik beratkan dari semasa ke semasa.

Pemeriksaan rapi dan kerja-kerja pemeliharaan juga kerap dilakukan terhadap rekod-rekod simpanan arkib ini bagi memastikan kualiti dan keadaannya sentiasa berada dalam status yang baik dan terjamin. Begitu juga setiap pengguna digalakkan memakai sarung tangan ketika merujuk, memegang atau melakukan pengendalian terhadap bahan arkib ini agar segala kualiti keasliannya tetap terjaga.

9 Jun disambut Hari Arkib Antarabangsa

Bersempena dengan Hari Arkib Antarabangsa yang disambut pada setiap 9 Jun, Haji Muhammad Ruzaini berharap agar orang awam di negara ini akan terus dapat menanamkan minat untuk merujuk koleksi arkib sebagai data primer bersesuaian dengan misinya untuk menjadi sebuah Pusat Sumber Maklumat dan Penyelidikan Negara dalam mengumpul, mengenal pasti dan memelihara rekod-rekod kerajaan dan awam yang mengandungi nilai-nilai sejarah, kebangsaan dan abadi sebagai ristaan untuk generasi penerus tanah air kita.

Tambahnya, bukan sahaja koleksi kad Raya bahkan Arkib Negara Brunei Darussalam yang telah ditubuhkan pada tahun 1977 itu juga memiliki anggaran 290,000 bahan arkib lain yang merangkumi rekod awam, gambar, pelan, peta dan sebagainya khususnya bagi tujuan rujukan.

“Melalui koleksi arkib yang mengandungi nilai sejarah dan budaya kebangsaan sebagai ristaan dan bahan rujukan ini pastinya menjadi harapan pihak Arkib Negara Brunei Darussalam sendiri dalam mendukung Wawasan Brunei 2035 khususnya dalam melahirkan individu yang berpengetahuan luas mencakupi pelbagai bidang,” ujarnya lagi semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata, baru-baru ini, sekali gus berkongsi penglibatan 604 orang penyelidik dari sektor kerajaan, swasta, penuntut dan orang persendirian yang telah berkunjung ke institusi berkenaan sekitar bulan Januari hingga Mei lalu.