NEW YORK, 19 SEPT – Keengganan Muhammad Ali untuk menandatangani kad pengerahan tentera era Vietnam mengubah hidup juara tinju itu dan menambah suara berpengaruh dalam gerakan anti-perang. Kini, cebisan sejarah itu bakal dijual.
Terdapat garisan kosong pada kad tersebut yang sepatutnya ditandatangani oleh Ali pada 1967, namun beliau enggan berbuat demikian, satu tindakan penentangan yang mencetuskan perdebatan hangat ketika Perang Vietnam sedang memuncak.
“Mengingati mesej keberanian dan keyakinan ayah saya adalah lebih penting daripada sebelumnya dan penjualan kad beliau di Christie’s merupakan cara berkesan untuk berkongsi legasi itu dengan dunia,” kata anak perempuan Ali, Rasheda Ali Walsh, dalam kenyataan yang dikeluarkan firma lelong tersebut kelmarin.
Christie’s berkata lelongan dalam talian akan berlangsung dari 10 hingga 28 Oktober, dan kad itu akan disampaikan kepada mereka melalui ahli keluarga Muhammad Ali.
Pameran awam dokumen itu telah bermula kelmarin di Rockefeller Center, New York dan akan diteruskan sehingga 21 Oktober.

Nilai dokumen itu dianggarkan bernilai antara AS$3 juta hingga AS$5 juta.
“Ia adalah objek tunggal yang dikaitkan dengan peristiwa bersejarah penting yang amat besar dalam budaya popular kita,” kata pakar kanan Christie’s, Peter Klarnet.
Ali, juara tinju heavyweight dunia tiga kali, meninggal dunia pada 2016 pada usia 74 tahun selepas lama menderita penyakit Parkinson.
Kira-kira 100,000 orang berbaris di jalanan kampung halamannya di Louisville, Kentucky, melaungkan ‘Ali! Ali!’ ketika keranda beliau dibawa ke tanah perkuburan tempatan. Majlis peringatannya dipenuhi selebriti, atlet dan ahli politik.
Kad itu dikeluarkan pada hari lembaga tentera di Louisville mengarahkan Ali hadir untuk perkhidmatan tentera, menurut Christie’s dalam kenyataan media kelmarin. Kad itu ditandatangani oleh pengerusi lembaga tentera tempatan, namun bukan Ali.
“Ini kali pertama pengumpul berpeluang memperoleh sebuah dokumen penting dan peribadi yang berkaitan dengan salah seorang tokoh terpenting abad lalu,” kata Klarnet, kelmarin. – AP

