Saturday, April 19, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kadar autisme meningkat di AS

    WASHINGTON, 16 APRIL – Kadar autisme di Amerika Syarikat telah mencatat peningkatan pada tahun 2022, menurut satu kajian terbaharu yang diterbitkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC). Penulis kajian menyatakan lonjakan tersebut berkemungkinan besar berpunca daripada penambahbaikan dalam kaedah pengesanan dan diagnosis awal.

    Kadar autisme dalam kalangan kanak-kanak berusia lapan tahun telah meningkat kepada satu dalam 31 pada 2022, berbanding satu dalam 36 pada tahun 2020. Dua puluh tahun sebelumnya, kadarnya adalah satu dalam 150.

    Kajian tersebut menyatakan kadar pengesanan autisme adalah lebih tinggi dalam kalangan kanak-kanak yang lahir pada 2018 berbanding mereka yang lahir pada 2014, ‘menunjukkan peningkatan pengesanan awal yang selaras dengan pola sejarah’.

    Setiausaha Kesihatan AS, Robert F. Kennedy Jr., yang terkenal dengan pandangan skeptikal terhadap vaksin, telah lama mengaitkan peningkatan kadar autisme dengan vaksin, suatu hubungan yang telah disangkal oleh kajian saintifik.

    Minggu lalu, Kennedy menjanjikan kajian besar untuk mendedahkan punca ‘epidemik’ autisme, dengan para pakar bimbang usaha itu akan menghidupkan semula teori konspirasi tentang vaksin.

    Robert F. Kennedy Jr. menyampaikan ucapan di Indianapolis, pada 15 April. – AP

    Namun, para saintis menafikan terdapat ‘epidemik’ yang berkaitan dengan autisme.
    Kajian yang diterbitkan hari ini, memperlihatkan perbezaan geografi, jantina dan etnik dalam penyakit autisme di AS.

    Kanak-kanak keturunan Afrika-Amerika, Asia dan Latino dilihat lebih cenderung berbanding kanak-kanak kulit putih untuk didiagnosis dengan gangguan spektrum autisme (ASD).

    “Penyelidikan tidak menunjukkan tempat tinggal komuniti tertentu akan meningkatkan risiko kanak-kanak untuk menghidapi ASD,” tambah kajian itu.

    Tiada satu punca khusus yang dikenal pasti bagi autisme, suatu keadaan kompleks yang melibatkan perkembangan otak dan boleh mempengaruhi tingkah laku, cara berkomunikasi, pembelajaran serta interaksi sosial bagi seseorang individu.

    Menurut WHO, terdapat banyak faktor yang mungkin menyebabkan kanak-kanak lebih cenderung mengalami autisme, termasuk faktor genetik dan juga persekitaran. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda