Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Kadar inflasi domestik, global kekal tinggi

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 DIS – Ekonomi domestik Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan pertumbuhan negatif sebanyak 4.3 peratus bagi separuh pertama 2022.

    Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) dalam kenyataan dasar 2/2022 yang dikeluarkan hari ini, turut menyatakan bahawa kadar inflasi domestik dan global kekal tinggi dalam tempoh terdekat.

    Mengambil kira dasar monetari Negara Brunei Darussalam serta persamaan nilai dolar Brunei dengan nilai dolar Singapura, beberapa langkah pengetatan dasar monetari yang telah dilaksanakan oleh Monetary Authority of Singapore (MAS) pada tahun ini dijangka akan mengurangkan impak kadar inflasi yang diimport kepada ekonomi domestik.

    Dengan faktor-faktor tersebut serta data Indeks Harga Pengguna (IHP) terkini, BDCB telah menaikkan unjuran inflasi Negara Brunei Darussalam bagi 2022 dalam lingkungan 3.5 peratus hingga 4.5 peratus.

    BDCB akan secara berterusan memantau perkembangan ekonomi dan sektor kewangan demi menjaga kestabilan monetari dan kewangan negara, menurut kenyataan itu lagi.

    Dalam pada itu, BDCB juga memaklumkan bahawa sektor kewangan me-rekodkan kadar pertumbuhan nilai aset keseluruhan sebanyak 5.9 peratus tahun ke tahun dengan nilai berjumlah $24.8 bilion pada suku ketiga 2022.

    Daripada jumlah tersebut, aset kewa-ngan Islam adalah sebanyak 54 peratus iaitu $13.4 bilion. Sebanyak 92.6 peratus daripada jumlah keseluruhan aset sektor kewangan adalah daripada institusi-institusi penerima deposit dengan nilai aset berjumlah $23 bilion.

    Kenyataan dasar tersebut juga mengongsikan bahawa modal industri perbankan pada suku ketiga 2022 kekal kukuh dan berdaya tahan dengan agregat Capital Adequacy Ratio sebanyak 18.7 peratus.

    Walau bagaimanapun, dengan pe-ningkatan ketidaktentuan pasaran global, keuntungan industri perbankan telah merekodkan penurunan pada suku ketiga 2022 dengan agregat nisbah Pulangan kepada Aset dan Pulangan kepada Ekuiti masing-masing sebanyak 1.1 peratus dan 8.4 peratus berbanding dengan 1.5 peratus dan 9.5 peratus pada tahun sebelumnya.

    Walaupun dalam persekitaran yang mencabar, kedudukan modal industri perbankan yang tetap kukuh telah membantu bank-bank menangani kesan sementara terhadap tahap keuntungan di samping mendukung permintaan kredit ekonomi tempatan.

    Kenyataan turut mengongsikan bahawa pengecualian yuran dan caj untuk pemindahan dana antara bank-bank tempatan secara dalam talian yang diperkenalkan sejak 1 April 2020 telah membawa kepada peningkatan dalam jumlah transaksi menggunakan sistem Real-Time Gross Settlement (RTGS) sebanyak 91.7 peratus tahun-ke-tahun bagi tempoh Januari hingga Oktober 2022 berbanding tahun sebelumnya.

    Sementara itu, jumlah pemindahan kredit langsung dalam sistem Automated Clearing House (ACH) juga menunjukkan peningkatan sebanyak 54.1 peratus tahun-ke-tahun bagi tempoh yang sama.

    Terdahulu, BDCB dalam kenyataan turut mengongsikan bahawa berdasarkan laporan World Economic Outlook yang telah dikeluarkan pada Oktober lalu, International Monetary Fund (IMF) telah mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi global bagi 2022 pada kadar 3.2 peratus, dan unjuran pertumbuhan itu diturunkan daripada 2.9 peratus ke 2.7 peratus bagi 2023.

    Ia mengambil kira perkembangan ekonomi global yang semakin merosot didorong oleh pelbagai kejutan terhadap ekonomi dunia yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kesan pandemik COVID-19.

    Ini termasuk pertumbuhan ekonomi Republik Rakyat China yang lebih perlahan disebabkan oleh kes-kes COVID-19 yang berlarutan dan peraturan ketat COVID-19, serta isu hartanah negara tersebut.

    Begitu juga disebabkan kadar inflasi global yang lebih tinggi daripada jangkaan, terutamanya di beberapa ekonomi utama dan maju dan kesan negatif daripada konflik Ukraine-Rusia. Risiko terhadap prospek ekonomi global kekal dijangka akan terus menurun sehingga ada tanda pemulihan ekonomi yang kukuh.

    Kenyataan dasar BDCB yang lengkap boleh didapati di laman sesawang BDCB di www.bdcb.gov.bn.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...