PUTRAJAYA, 7 NOV – Kadar jangkitan influenza di Malaysia telah mencatatkan sedikit peningkatan, namun masih terkawal pada minggu epidemiologi ke-44 (ME44), iaitu bagi tempoh 26 Oktober hingga 1 November lepas, berbanding minggu sebelumnya, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).
KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan kadar konsultasi kes Influenza-Like Illness (ILI) meningkat kepada 8.34 peratus pada ME44 daripada 8.18 peratus pada ME43.
“Walaupun terdapat peningkatan kecil, kadar tersebut masih stabil dan lebih rendah berbanding minggu puncak pada ME42 yang merekodkan 9.68 peratus,” menurut kenyataan itu.
Dari segi pelaporan wabak, sebanyak 43 wabak influenza dilaporkan pada ME44 berbanding 30 wabak pada ME43.
“Bagaimanapun, angka itu masih jauh lebih rendah berbanding 216 wabak yang dicatatkan pada ME42,” menurut kenyataan itu.
Menurut KKM, analisis makmal melalui survelan ILI dan Severe Acute Respiratory Infections (SARI) mendapati kadar positif influenza meningkat kepada 37.6 peratus pada ME44 berbanding 27.6 peratus pada ME43. Namun, jujukan genom tidak mengesan sebarang mutasi baharu virus influenza setakat ini.
“KKM melalui sistem survelan ILI dan SARI akan terus memantau trend penyakit saluran pernafasan akut di seluruh Malaysia, termasuk situasi jangkitan influenza dari semasa ke semasa, bagi memastikan langkah pencegahan, kawalan dan kesiapsiagaan dilaksanakan secara berterusan,” menurut kenyataan itu. – Bernama


