Thursday, July 24, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kadar kelahiran penduduk Korea S meningkat

    SEOUL, 23 JULAI – Korea Selatan catat rekod pertumbuhan kadar kelahiran yang meningkat dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, seorang pegawai agensi statistik memberitahu AFP hari ini.

    Negara ini mempunyai salah satu jangka hayat terpanjang di dunia dan juga kadar kelahiran terendah, menjadi satu gabungan demografi yang mencabar.

    Seoul telah melabur berbilion dolar dalam usaha menggalakkan wanita mempunyai lebih ramai anak dan mengekalkan kestabilan penduduk.

    “Jumlah anak damit  baru lahir bagi tempoh Januari-Mei berjumlah 106,048, peningkatan 6.9 peratus, kadar pertumbuhan tertinggi sejak pengumpulan data sedemikian bermula pada 1981,” kata Kang hyun-young dari Statistics Korea.

    Lonjakan itu didorong oleh peningkatan dalam jumlah perkahwinan. Pada 2024, bilangan anak damit baru lahir meningkat sebanyak 8,300, atau 3.6 peratus, kepada 238,300 daripada tahun sebelumnya.

    April khususnya menyaksikan lonjakan, dengan pertumbuhan tahun ke tahun mencecah 8.7 peratus dan bilangan kelahiran berjumlah 20,717 bulan itu.

    Angka terbaharu menandakan pemulihan yang melonjak pada awal 2024, apabila bilangan kelahiran bagi tempoh Januari-Mei menurun sebanyak 2.7 peratus daripada tahun sebelumnya.

    Kadar kesuburan, atau purata bilangan bayi yang dijangkakan oleh seorang wanita sepanjang hayatnya, bagi bulan Mei ialah 0.75 sementara Korea Selatan memerlukan kadar kesuburan 2.1 bagi mengekalkan populasi 51 juta orang.

    Dengan kadar semasa, populasi akan menghampiri kepada 26.8 juta menjelang 2100, menurut Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan di Universiti Washington di Seattle.

    Penganalisis berkata terdapat pelbagai sebab untuk kadar kelahiran yang rendah sebelum ini, termasuk kos pembesaran anak yang tinggi dan harga hartanah yang tinggi selain beban berganda bagi ibu yang bekerja sambil perlu menguruskan keluarga.

    Dalam usaha untuk membalikkan trend tersebut, kerajaan Korea Selatan menawarkan subsidi tunai, perkhidmatan menjaga anak dan sokongan untuk rawatan kemandulan.

    Negara jiran, Jepun juga sedang bergelut dengan isu yang sama ia mempunyai penduduk kedua tertua di dunia selepas Monaco, dan peraturan imigresen negara yang agak ketat bermakna ia menghadapi kekurangan tenaga kerja yang semakin meningkat. – AFP

    Suasana bandar Seoul.  Korea Selatan alami penambahan kelahiran. – Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda