Saturday, February 8, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kadar kematian fentanyl lebih tinggi di Kanada

    OTTAWA, 7 FEB – Fentanyl menyebabkan kematian lebih ramai orang per kapita di Kanada berbanding di Amerika Syarikat (AS), kata Menteri Keselamatan Awam Ottawa kelmarin, sambil menyatakan bahawa kedua-dua negara ‘saling berkait’ dalam memerangi krisis opioid.

    Presiden AS, Donald Trump telah menuduh Kanada tidak melakukan cukup usaha untuk mengatasi aliran fentanyl merentasi sempadan bersama mereka dan menjadikan isu itu sebagai alasan untuk mengancam tarif import.

    Kerajaan Perdana Menteri Justin Trudeau telah berjanji untuk menangani kebimbangan tersebut, sambil menegaskan bahawa kurang satu peratus fentanyl di AS berasal dari Kanada.

    “Jika mengikut populasi per kapita, kita kehilangan lebih ramai rakyat Kanada berbanding jumlah kematian rakyat Amerika,” kata Menteri Keselamatan Awam, David McGuinty kepada wartawan, kelmarin. “Kita saling berkait dengan krisis ini.”

    Menurut anggaran AS, purata 205 rakyat Amerika mati setiap hari akibat dos berlebihan opioid dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kebanyakannya disebabkan oleh fentanyl.

    Kanada mencatatkan 21 kematian sehari, menurut data terkini, tetapi populasinya adalah kira-kira 12 kali lebih kecil berbanding jiran selatannya.

    Kenyataan McGuinty dibuat selepas beliau bertemu dengan pegawai kanan polis persekutuan dan agensi sempadan ‘untuk mengoperasikan’ pelan keselamatan sempadan bernilai AS$900 juta yang dilancarkan sebagai respons terhadap ancaman tarif Trump. – AFP

    Botol kecil fentanyl dipamerkan di farmasi pesakit dalam di Hospital Universiti Utah di Salt Lake City, pada 1 Jun 2018. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda