Monday, July 28, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kadar kemiskinan di Uzbekistan terus menurun

    TASHKENT, 27 JULAI – Kadar kemiskinan di Uzbekistan menurun lagi kepada 6.8 peratus setakat 1 Julai 2025, lapor Xinhua Jumaat lalu yang memetik kenyataan perkhidmatan media presiden negara itu.

    Mengikut data rasmi terdahulu, kadar kemiskinan di Uzbekistan pada akhir 2024 berada pada paras 8.9 peratus.

    Kenyataan Jumaat lepas turut menyebut bahawa Presiden Shavkat Mirziyoyev telah meneliti satu pembentangan berhubung pendekatan baharu bagi sistem pekerjaan dan pendidikan vokasional.

    Sejak awal tahun ini, pelbagai model berasaskan pengalaman antarabangsa telah diperkenalkan dalam sektor berkenaan. Antara inisiatif utama adalah kerjasama aktif antara sistem perbankan dan komuniti kejiranan tempatan yang dikenali sebagai mahalla, bagi menyokong usaha memastikan peluang pekerjaan.

    “Dalam separuh pertama tahun ini sahaja, lebih tiga juta individu telah terlibat dalam pekerjaan yang menjana pendapatan,” menurut kenyataan itu.

    “Sistem yang diwujudkan untuk mengurangkan kemiskinan serta peruntukan dana khusus untuk tujuan itu kini menunjukkan hasil yang positif. Sehingga 1 Julai tahun ini, kadar kemiskinan di negara ini menurun kepada 6.8 peratus,” kata perkhidmatan media presiden.

    Pembentangan itu turut menampilkan inisiatif dan langkah baharu yang bertujuan mengurangkan kadar kemiskinan. Menurut pendekatan terkini, pihak berkuasa berkaitan pekerjaan disaran beralih daripada peranan pengawasan kepada struktur kerjasama yang menyokong majikan.

    Pada September 2024, Mirziyoyev menyatakan usaha membasmi kemiskinan di Uzbekistan akan dijadikan sebagai satu ‘gerakan nasional.’ – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda