BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Feb – Kaji Selidik Literasi Kewangan kebangsaan yang dijalankan di Brunei, mendapati bahawa seperti kebanyakan negara-negara lain, hampir setengah tidak mencapai skor yang mencukupi dalam bidang pengetahuan kewangan.
Responden-responden berkenaan, terutamanya, kekurangan kemahiran numerasi yang diperlukan untuk membuat kiraan peratusan yang mudah dan pemahaman mengenai mekanisme faedah kompaun.
Kurang daripada setengah dapat mengira faedah mudah dan kurang daripada satu per empat responden mempunyai pemahaman betul faedah kompaun.
Ini adalah antara dapatan utama projek Kaji Selidik dan Strategi Kebangsaan Literasi Kewangan berdasarkan laporan akhir yang dikeluarkan oleh Pusat Pengajian Strategik dan Dasar (CSPS) di sini.
Projek kaji selidik berkenaan dilaksanakan oleh Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dengan kerjasama CSPS bermula Mac 2015 dan September 2016 yang lalu ke atas 1,867 orang responden dewasa daripada 1,521 buah keluarga berbeza bertujuan mengukur tahap celik kewangan di Brunei dan untuk memberikan cadangan polisi dan strategi nasional bagi menaikkan tahap celik kewangan.
Kajian tersebut menggunakan teknik pensampelan pelbagai peringkat untuk meliputi keempat-empat daerah. Sejumlah 70 kluster kejiranan (kira-kira 80 buah kampung) telah dipilih sebagai sampel.
Bagi setiap 1,521 sampel isi rumah, seorang dewasa ditemu duga. Selain itu, beberapa isi rumah yang dipilih secara rawak, seorang lagi wanita tambahan ditemu duga (346 responden).
Menurut laporan itu, kaji selidik berkenaan juga mendapati bahawa kebanyakan responden mempunyai sikap positif ke arah perancangan bagi masa depan, bagaimanapun, sikap positif ini tidak semestinya diterjemahkan kepada perubahan tingkah laku.
Walaupun sikap kewangan adalah syarat penting bagi tingkah laku penjimatan, faktor-faktor lain jelas memberi kesan kepada tingkah laku kewangan seperti pengetahuan dan sumber kewangan.Lebih 40 peratus sampel juga tidak mencapai skor yang mencukupi dalam bidang tingkah laku kewangan dan menurut laporan itu, individu-individu berkenaan akan mendapat manfaat daripada inisiatif-inisiatif yang menyasarkan untuk memperbaiki tingkah laku dan literasi kewangan ini.
Dalam hal ini, laporan berkenaan telah menekankan mengenai kurangnya penyertaan pasaran yang aktif dan berpengetahuan, hanya sejumlah kecil membayar bil tepat pada masanya (agak membimbangkan), kadar rendah responden yang aktif menyimpan dan yang tidak perlu meminjam untuk perbelanjaan, 60 peratus sampel tidak dapat meliputi perbelanjaan mereka bagi lebih dari dua bulan, 30 peratus pemegang kad kredit (dalam sampel berkenaan) biasanya hanya membuat bayaran minimum daripada baki tertunggak dan 20 peratus pemegang akaun bank mengawasi akaun bank mereka kurang daripada sekali setiap bulan.
Menurut laporan itu lagi, dari segi pengetahuan kewangan, kumpulan yang paling berkemungkinan berisiko dalam sampel berkenaan adalah wanita, berusia 60 tahun ke atas, daripada kumpulan etnik asli, tinggal di Temburong, tidak aktif atau tidak bekerja, tidak menamatkan persekolahan menengah dan mempunyai pendapatan di bawah $450 per kapita.
Dari segi tingkah laku kewangan, kumpulan yang paling berkemungkinan berisiko adalah individu berusia 60 tahun ke atas, tinggal di Temburong, tidak aktif atau tidak bekerja, tidak menamatkan persekolahan menengah dan mempunyai pendapatan di bawah $450 per kapita.
Dari segi keseluruhan literasi kewangan, kumpulan paling berkemungkinan berisiko dalam sampel berkenaan adalah mereka daripada kumpulan-kumpulan etnik asli, tinggal di Temburong, tidak aktif atau tidak bekerja, pendidikan kurang daripada persekolahan menengah dan pendapatan kurang daripada $450 per kapita.
Berikutan perbincangan mengenai dapatan-dapatan berkenaan dengan pihak-pihak berkepentingan utama projek berkenaan, enam kumpulan sasaran bagi Strategi Kebangsaan telah dikenal pasti iaitu orang dewasa muda (berusia 30 tahun ke bawah), orang-orang tua (60 tahun ke atas), mereka yang mempunyai pendapatan rendah (kurang daripada $200 per kapita), orang dewasa yang tidak aktif atau tidak bekerja, mereka yang mempunyai pendidikan rendah (kurang daripada persekolahan menengah) dan kumpulan-kumpulan etnik asli.
Kaji selidik ini dilaksanakan bagi mencapai objektif mengukur paras literasi kewangan dan keupayaan kewangan, yang mana kaji selidik itu menyediakan dasar dan meliputi kumpulan-kumpulan sasaran tertentu.
Teknik pensampelan berbilang peringkat telah digunakan dalam kaji selidik berkenaan dengan memilih 70 kluster kawasan (kira-kira 80 kampung). Bagi setiap 1,521 keluarga yang dipilih, seorang orang dewasa ditemu duga. Selain itu, dalam keluarga yang dipilih secara rambang, seorang wanita tambahan ditemu duga (346 responden).
Projek itu juga berobjektif untuk menyediakan cadangan-cadangan polisi, amalan-amalan terbaik dan strategi kebangsaan bagi mempromosikan literasi kewangan.