Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JAN – Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Kementerian Hal Ehwal Ugama, melalui Surat Pemberitahuan Bilangan 1/2025, memaklumkan kadar nisab zakat harta (wang simpanan) bagi tahun 1446 Hijrah.
Kadar nisab zakat emas kini ditetapkan pada harga $95.97 untuk 1 gram emas 21 karat.
Oleh itu, kadar nisab zakat harta ialah $8,157.45 (95.97 x 85 gram) dan bayaran zakat perlu dikeluarkan adalah 25 peratus atau 1/40, bersamaan dengan $203.94.
Kadar nisab ini berkuat kuasa mulai 2 Syaaban 1446 Hijrah, bersamaan dengan 1 Februari.
MUIB mengingatkan bahawa nilai emas boleh berubah-ubah mengikut turun naik harga emas di pasaran, dan oleh itu, kadar nisab zakat harta akan diselaraskan berdasarkan harga semasa emas. Perubahan kadar nisab ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Zakat harta adalah wajib dikeluarkan sekali setahun, sama ada berdasarkan Tahun Hijrah atau Tahun Masihi, bagi setiap individu Islam yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh hukum syarak. Zakat merupakan Rukun Islam yang keempat dan wajib dilaksanakan oleh umat Islam yang layak.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tidak dikenakan ke atasmu apa-apa (Zakat) sehingga sampai 20 dinar. Jika kamu memiliki dan sampai haulnya, maka padanya (Zakat) setengah dinar.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Baihaqi).
Berdasarkan kiraan semasa, 20 dinar (mitsqal) emas bersamaan dengan 85 gram emas.
Selain itu, jumhur ulama fiqh juga telah menetapkan bahawa zakat wajib dikenakan ke atas mata wang. Mata wang tersebut menggantikan mata wang emas dan perak yang digunakan oleh masyarakat Arab terdahulu dalam urusan niaga sebelum kedatangan
Islam.