Friday, February 28, 2025
23.5 C
Brunei
  • Rileks Jap

Berita Terkini

Kadar obesiti dicatatkan meningkat

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 April – Penyakit tidak berjangkit iaitu kanser, penyakit jantung, kencing manis dan strok merupakan penyebab utama kematian di Negara Brunei Darussalam yang menyumbang sebanyak 51.1 peratus daripada jumlah kematian di negara ini.

Hasil dapatan daripada Kaji Selidik Status Kesihatan dan Pemakanan Kebangsaan (NHANSS) Negara Brunei Darussalam 2011 dan Kajian Penyakit Tidak Menjangkit Kebangsaan (NNCD) STEPS 2016 menunjukkan bahawa golongan dewasa mempunyai berat badan berlebihan telah meningkat daripada 33 peratus pada 2011 kepada 62.8 peratus pada 2016 yang mana kadar itu menyumbang kepada peningkatan kadar obesiti daripada 27 peratus pada 2011 kepada 28 peratus pada 2016.

Salah satu sebab peningkatan trend yang membimbangkan itu adalah amalan kurang aktif atau tidak aktif secara fizikal. Ia merupakan pandemik global dan telah dikenal pasti sebagai penyebab utama keempat kematian di seluruh dunia.

Kadar tidak aktif secara fizikal yang ditakrifkan sebagai aktiviti fizikal sederhana tidak kurang dari 150 minit seminggu di negara ini menurut kaji selidik NHANNS 2011 ialah sebanyak 34.8 peratus, manakala itu, kadar tidak aktif secara fizikal menurut Kajian NNCD STEPS 2016 ialah 25.3 peratus.

Sehubungan dengan itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (W.H.O) telah memperkenalkan Hari Antarabangsa Kegiatan Fizikal yang disambut setiap 6 April bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan orang ramai mengenai faedah dan pentingnya amalan melakukan kegiatan fizikal.

Haji Abdul Manap menyertai sesi memanaskan badan semasa Acara Sambutan Hari Antarabangsa Kegiatan Fizikal 2018 yang berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, kelmarin.
Haji Abdul Manap menyempurnakan pelepasan para peserta walkaton sejauh 3.5 kilometer.
Haji Abdul Manap menyampaikan plak penghargaan kepada jurulatih dan pusat kecergasan semasa acara tersebut.

Sambutan Hari Antarabangsa Kegiatan Fizikal 2018 membawa tema ‘Aktiflah Setiap Hari’ dan menyahut seruan itu, Kementerian Kesihatan melalui Pusat Promosi Kesihatan dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta Syarikat Fitness Zone mengadakan Acara Sambutan Hari Antarabangsa Kegiatan Fizikal 2018 yang berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat, menyempurnakan penyampaian plak penghargaan serta menyempurnakan pelepasan peserta dalam acara walkaton dan berbasikal ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman.

Acara yang mendapat sambutan amat menggalakkan daripada orang ramai itu dimulakan dengan penyampaian plak penghargaan kepada jurulatih dan pusat-pusat kecergasan yang berjasa dengan menyumbangkan tenaga mereka mengikuti program-program kesihatan seperti Program Mukim Sihat, senamrobik di Pusat Promosi Kesihatan dan Bandarku Ceria, yang diikuti dengan sesi pemanasan badan.

Majlis diteruskan dengan Haji Abdul Manap menyempurnakan pelepasan peserta berbasikal sejauh 11.5 kilometer diikuti dengan pelepasan peserta walkaton sejauh 3.5 kilometer.

Bagi menyelaraskan lagi tema sambutan, satu acara seruan untuk bertindak (Call-for-Action), telah dibuat khas bagi tempat kerja agensi kerajaan dan bukan kerajaan bertujuan untuk mengurangkan duduk yang berpanjangan (prolonged sitting) di tempat kerja dengan mengadakan beberapa kegiatan yang boleh meningkatkan tahap kegiatan fizikal di tempat kerja.

Di samping itu, bagi memeriahkan lagi sambutan serta memberi penekanan terhadap mesej-mesej itu, mana-mana aktiviti yang diadakan di setiap jabatan atau syarikat boleh dimuat naik ke laman sosial Facebook Pusat Promosi Kesihatan di Health Promotion Centre atau instagram @hpcBrunei dan mengikuti cabaran #CAPAI30workplace.

Seruan untuk bertindak ini berlangsung semasa Minggu Aktif Brunei yang akan bermula esok (16 April) hingga 28 April.

Melakukan kegiatan fizikal boleh mencegah risiko menghidap penyakit-penyakit tidak berjangkit, meningkatkan kualiti kehidupan dan meningkatkan kesejahteraan dan produktiviti seseorang.

Ia boleh dilakukan di mana-mana, termasuk di tempat kerja. Para pekerja menghabiskan masa dalam tujuh hingga 10 jam setiap hari di tempat kerja, justeru itu, ia merupakan salah satu persekitaran di mana kegiatan fizikal boleh dilakukan untuk meraih manfaat kesihatan serta mengurangkan risiko penyakit-penyakit tidak berjangkit seperti kanser, penyakit jantung termasuk tekanan darah tinggi, kencing manis dan strok.

Bagi merealisasikan matlamat itu, Kementerian Kesihatan mengalu-alukan semua pihak yang berkepentingan dan orang ramai di tempat kerja supaya akan dapat mewujudkan atau mengukuhkan dasar Tempat Kerja Sihat yang mempromosi kegiatan fizikal, menyediakan atau memastikan infrastruktur yang kondusif untuk melakukan kegiatan fizikal seperti tangga pejabat yang selamat dan mudah diakses serta meningkatkan kesedaran mengenai kegiatan fizikal dan menggalakkan kegiatan fizikal di kalangan pekerja.

Antara usaha untuk menggalakkan kegiatan fizikal itu adalah mempromosikan mesej mengenai kegiatan fizikal melalui pameran poster, risalah dan bahan bersesuaian, menganjurkan cabaran 10,000 langkah sehari, menggalakkan mobility break sekurang-kurangnya 10 minit dengan melakukan senaman ringan sebagai kaedah rehat daripada duduk berpanjangan semasa waktu bekerja, menggalakkan senama berkumpulan, menggalakkan penggunaan gimnasium atau bilik atau kemudahan riadah serta menggalakkan pergerakan bebas untuk mencegah tabiat duduk yang berpanjangan.

- Advertisment -

Berita Berkaitan

Disyorkan Untuk Awda