Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Seramai 258 orang pelajar Sekolah Arab telah mendapat keputusan 5A dalam Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah bagi 2018 di seluruh negara iaitu sebanyak 31.01 peratus.
Jumlah ini mencatatkan peningkatan sebanyak 12.5 peratus berbanding tahun lalu yang mencatatkan 18.51 peratus.
Sekolah Persediaan Arab, Bandar Seri Begawan menampakkan peningkatan yang sangat ketara iaitu seramai 146 orang pelajar yang mendapat 5A, 38.32 peratus berbanding 103 orang pada 2017 iaitu 21.78 peratus dengan peningkatan sebanyak 16.54 peratus.
Manakala itu, secara keseluruhan pelajar sekolah Arab di seluruh negara yang mendapat keputusan A hingga C adalah sebanyak 808 orang pelajar iaitu 97.12 peratus, peningkatan sebanyak 2.17 peratus berbanding 94.95 peratus pada 2017.
Statistik ini adalah antara yang dikongsikan oleh Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Rusli bin Haji Mohd Salleh semasa menyampaikan ucapan selaku tetamu kehormat pada Majlis Penyampaian Hadiah Cemerlang Sesi Pengajian 1440H/2018M Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan yang berlangsung di Dewan Serba Guna, Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah, Kampung Serusop, hari ini.
Salah seorang pelajar yang diraikan ialah cucunda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Pengiran Qaiyimah Nurul Bolkiah binti Pengiran Haji Mohammad Hakimmuddin yang mendapat keputusan 5A dalam Peperiksaan PSR.