Kadar pematuhan Akta Kawalan Harga dan Peraturan-peraturan meningkat

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – Kadar pematuhan terhadap Akta Kawalan Harga dan Peraturan-peraturan mencatatkan peningkatan berterusan bagi tahun ketiga dengan kadar 98.8 peratus.

Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPHES) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, mengatakan peningkatan kepatuhan diri berterusan dalam kalangan para peniaga adalah satu perkembangan menggalakkan dan mencerminkan pengukuhan penguatkuasaan serta pemberigaan jabatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ia juga menunjukkan usaha pihak peniaga yang lebih giat mewujudkan langkah-langkah berkesan untuk memastikan kepatuhan, yang menyumbang kepada peningkatan tahap kebajikan pengguna di negara ini.

Menurut kenyataan itu lagi, berdasarkan peningkatan kadar kepatuhan itu, Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna (JPHEP) mengesan 47 kesalahan dikesan pada tahun 2020 berbanding 114 dan 244 kesalahan masing-masingnya pada 2019 dan 2018.

Sehubungan itu, para peniaga diingatkan bahawa kepatuhan terhadap Akta Kawalan Harga dan Peraturan-peraturannya mampu membina reputasi perniagaan yang baik dan meningkatkan kesetiaan pengguna, di samping mendorong penggunaan domestik lebih berdaya tahan serta menyokong iklim perniagaan lebih bertenaga di negara ini.

Jabatan juga mengingatkan bahawa kegagalan mematuhi akta tersebut boleh dikenakan kompaun tidak lebih $1,000 manakala kesalahan berulang boleh didenda maksimum $20,000 dan penjara lima tahun.

Bagi maklumat lanjut mengenai kawalan harga, orang ramai boleh menghubungi JPHEP melalui hotline di Talian Darussalam 123, aplikasi mudah alih PenggunaBijak atau e-mel ke [email protected]