BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Permintaan untuk perhubungan dan kelajuan sambungan data telefon bimbit yang lebih pantas semakin meningkat di dalam dan luar negara, didorong oleh pertambahan jumlah pelanggan yang memerlukan rangkaian lebih pantas demi memenuhi isi kandungan aplikasi video dan telefon bimbit.
Pada tahun 2016, kadar penembusan telefon bimbit di negara ini meningkat sebanyak 11 peratus kepada 125.5 peratus, dengan kadar penembusan jalur lebar telefon bimbit meningkat sebanyak 19 peratus kepada 121.2 peratus dalam tahun yang sama.
Tambahan pula, Negara Brunei Darussalam mencatat satu pertambahan dalam penembusan telefon bimbit pada CAGRI 5.6 peratus di antara tahun 2012 hingga 2016. Ini menunjukkan perhubungan masih merupakan kunci utama untuk mempertingkatkan prospek ekonomi sesebuah negara serta kesenangan dan gaya hidup seseorang.
Standard kualiti (QoS) pihak berkuasa terdiri daripada beberapa siri petunjuk yang dikenakan oleh Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI) ke atas pembekal telekomunikasi tempatan demi memastikan pelanggan telefon bimbit boleh menikmati faedah perhubungan tidak kira di mana mereka berada.
Pada umumnya, pihak berkuasa mendapati liputan perkhidmatan telefon bimbit adalah pada tahap yang boleh diterima dan di mana terdapat kawasan yang tidak mempunyai liputan, pihak berkuasa akan terus bekerjasama dengan pembekal tempatan untuk memastikan terdapatnya infrastruktur dan liputan di kawasan berkenaan.
Tambahan pula, prestasi perkhidmatan suara telefon bimbit dan jalur lebar telefon bimbit juga berada pada tahap yang boleh diterima, memenuhi dan dalam sesetengah kes, melebihi standard minimum yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Pihak berkuasa percaya perkongsian maklumat berkaitan QoS adalah penting untuk membolehkan pengguna membuat pilihan berdasarkan fakta dan melindungi hak mereka. Ia juga memberi motivasi kepada pembekal telekomunikasi tempatan supaya menggunakan sumber optimum menyokong permintaan tempatan untuk kesalinghubungan telefon bimbit.
Sejak tahun 2014, AITI telah menumpukan kepada peningkatan ketersediaan dan kebolehpercayaan perkhidmatan telekomunikasi yang disediakan oleh pembekal telekomunikasi tempatan.
Di antara langkah-langkah yang diambil termasuk mengumpulkan laporan prestasi suku tahunan oleh pembekal telefon bimbit tempatan, ditambah lagi dengan pendekatan bebas pihak berkuasa.
Kod Prosedur Perkhidmatan Kualiti (QoS Code) diperkenalkan pada 1 Mac 2014 untuk memastikan perkhidmatan telekomunikasi yang berkualiti dan boleh diterima oleh semua pengguna. Ini memperkukuh lagi kenyataan bahawa ketersediaan perkhidmatan telekomunikasi yang boleh dipercayai merupakan salah satu ramuan yang perlu untuk pembangunan ekonomi.