TOKYO, 28 Sept – Kadar pengangguran Jepun merosot sementara pengeluaran kilang meningkat untuk kali pertama dalam empat bulan pada Ogos, satu petanda ekonomi ketiga terbesar di dunia itu sedang mencatat pemulihan.
Kadar pengangguran mencecah 2.4 peratus pada Ogos, merosot daripada 2.5 peratus pada bulan sebelumnya, kata kementerian hal ehwal dalam negeri.
Angka itu, lebih rendah daripada jangkaan pasaran sebanyak 2.5 peratus, adalah peningkatan pertama dalam dua bulan selepas kadar mencecah tahap rendah 26 tahun sebanyak 2.2 peratus pada Mei.
Nisbah pekerjaan-berbanding-pemohon tidak berubah pada kadar tertinggi dalam 44 tahun, dengan 163 pekerjaan ditawarkan untuk setiap 100 pencari pekerjaan, kata data berasingan daripada kementerian pekerja. Jepun telah lama bergelut dengan pasaran pekerja yang ketat, disebabkan masyarakat berusia, kadar kelahiran yang rendah dan tahap penghijrahan yang amat rendah.

Sementara itu, pengeluaran kilang negara pada Ogos meningkat 0.7 peratus berbanding bulan sebelumnya, kenaikan pertama dalam empat bulan, kata kementerian perdagangan dan industri. Bagaimanapun, pertambahan itu adalah lebih rendah daripada jangkaan pasaran iaitu pertambahan sebanyak 1.4 peratus.
Angka terbaharu keluar selepas Jepun dan Amerika Syarikat bersetuju untuk memulakan rundingan perdagangan dua hala, meredakan kebimbangan bahawa Presiden Donald Trump akan menyasarkan sekutu AS untuk serangan tarif akan datang. – AFP