KUALA LUMPUR, 10 JAN – Jumlah pengangguran di Malaysia menurun kepada 546,700 orang pada November 2024 dengan kadar pengangguran 3.2 peratus, data rasmi menunjukkan hari ini.
Prestasi ekonomi Malaysia yang terus kukuh menjelang akhir 2024 telah membawa kepada pasaran buruh yang lebih stabil pada November 2024, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam satu kenyataan.
Bilangan tenaga buruh pada November bertambah kukuh dengan peningkatan 0.1 peratus kepada 17.29 juta orang.
Kadar penyertaan tenaga buruh kekal tidak berubah pada 70.5 peratus, seperti pada bulan sebelumnya.
Sementara itu, bilangan pekerja berada pada aliran menaik, meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 16.75 juta orang pada bulan November.
Menurut DOSM, keadaan pasaran buruh Malaysia yang stabil disokong oleh aktiviti pengambilan pekerja yang menggalakkan susulan daripada aktiviti perniagaan yang berkembang seiring dengan pertumbuhan ekonomi domestik yang sihat.
“Oleh itu, prestasi tenaga buruh negara dijangka kekal kukuh pada bulan-bulan akan datang, memandangkan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan dengan pertumbuhan yang stabil,” tambah kenyataan berkenaan. – Xinhua