Monday, March 10, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kadar pengangguran negara catat penurunan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MAC – Penduduk kumpulan umur bekerja berumur 15 tahun dan ke atas adalah berjumlah 364,800 orang, dan daripada jumlah tersebut, 64 peratus (233,800 orang) menyertai tenaga kerja manakala selebihnya 36 peratus (131,000 orang) adalah di luar tenaga kerja, menurut laporan Kajian Tenaga Kerja (KTK) 2024.

    Penduduk bekerja meningkat sebanyak 2.8 peratus, daripada 216,700 orang pada tahun 2023 kepada 222,700 orang pada tahun 2024.

    Pekerja tempatan menyumbang 71.3 peratus daripada jumlah yang bekerja, dan selaras dengan peningkatan ini, kadar pengangguran telah menurun daripada 5.2 peratus kepada 4.8 peratus bagi individu berumur 15 tahun dan ke atas.

    Manakala, bagi yang berumur 18 tahun dan ke atas, kadar pengangguran menurun daripada 5.1 peratus pada tahun 2023 kepada 4.7 peratus pada tahun 2024.

    Data KTK menunjukkan bahawa pertumbuhan pekerjaan terutamanya didorong oleh sektor swasta, yang mencatatkan peningkatan pekerjaan sebanyak 4 peratus berbanding peningkatan sebanyak 0.3 peratus dalam sektor awam.

    Menurut hasil Kajian Suku Tahunan Perniagaan bagi tahun 2024, peningkatan pekerjaan adalah ketara dalam sektor-sektor perdagangan borong dan runcit; perkhidmatan makanan; pembuatan (Petrochemical); teknologi maklumat dan komunikasi; dan sektor perkhidmatan profesional, teknikal, pentadbiran dan perkhidmatan sokongan.

    Peningkatan dalam pekerjaan sendiri juga mencerminkan peralihan ke arah aktiviti keusahawanan dan ekonomi gig yang dipacu oleh platform digital.

    Selaras dengan peningkatan pekerjaan dalam sektor swasta, data juga menunjukkan bahawa sektor swasta terus menjadi penyumbang utama kepada peluang pekerjaan. Nisbah tenaga kerja dalam sektor swasta adalah 70 peratus berbanding 30 peratus dalam sektor awam.        

    Sehubungan itu, Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, telah merakamkan penghargaan kepada semua isi rumah yang telah dipilih atas kerjasama mereka sepanjang tempoh kajian.

    Penyertaan mereka telah memainkan peranan penting dalam menyediakan pandangan berharga mengenai landskap tenaga kerja di Brunei Darussalam.

    Laporan KTK 2024 boleh diperoleh di laman sesawang JPES, dan pertanyaan mengenai perkara itu boleh dirujuk ke JPES dengan menghubungi talian 7469844 pada waktu pejabat, e-mel  info.statistics@jpes.gov.bn, atau layari laman sesawang di deps.mofe.gov.bn.

    – Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda