Tuesday, March 11, 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Menteri UK dijangka lawat negara ini

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MAC – Menteri United Kingdom (UK) bagi Indo-Pasifik, Puan Yang Terutama Catherine West, akan mengadakan lawatan ke Negara Brunei Darussalam bagi Dialog Strategik UK-Brunei ke-4 dari 11 hingga 14 Mac.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi British di negara ini, menyatakan lawatan itu melambangkan komitmen UK terhadap sekuriti di serata rantau dan hubungan dalam antara kedua-dua rakan kongsi komanwel yang bersatu dalam komitmennya kepada pertumbuhan berdaya tahan dan selamat.

    Lawatan itu juga hadir selepas tiga bulan UK menyertai Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership (CPTPP) yang membawa kepada perjanjian perdagangan bebas pertama UK-Brunei.

    Semasa lawatan selama tiga hari itu, PYT Catherine West akan berjumpa dengan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof, untuk membincangkan usaha mengembangkan hubungan berkenaan dan bagaimana Brunei boleh memainkan peranan utama dalam menyokong misi utama pertumbuhan ekonomi, sekuriti dan sifar bersih kerajaan UK.

    PYT Catherin West dipetik menyatakan bahawa lawatan itu merupakan lawatan rasmi pertamanya ke negara ini iaitu salah satu rakan kongsi paling rapat UK di Indo-Pasifik.

    Beliau menyatakan hubungan dua hala di antara kedua-dua buah negara berkenaan terus dieratkan, dengan penubuhan perjanjian perdagangan bebas, baru-baru ini serta komitmen diperbaharui dari Brunei untuk menghoskan pangkalan tentera tetap di Brunei bagi tempoh lima tahun akan datang.

    Ia merupakan simbol betapa pentingnya hubungan UK-Brunei kepada sekuriti serantau dan pertumbuhan ekonomi.

    Beliau turut berkata bahawa Brunei merupakan sebuah negara yang menunjukkan komitmen kuat kepada pemuliharaan alam sekitar dan kemampanan dengan mengekalkan lebih 70 peratus liputan hutannya, menyokong biodiversiti luar biasa serta komited kepada sifar bersih.

    “Perjanjian perdagangan bebas kita akan menyokong usaha bersama kita dalam peralihan hijau.”

    PYT Catherine West juga akan mengadakan perjumpaan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah untuk meneroka lebih lanjut hubungan perdagangan dan pelaburan serta juga pemimpin wanita tempatan untuk menyokong inovasi dan penglibatan bersama.

    PYT Catherine West akan mengadakan lawatan ke Negara Brunei Darussalam bagi Dialog Strategik UK-Brunei ke-4. – GAMBAR SERAHAN SURUHANJAYA TINGGI BRITISH DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda