Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kadar Pinjaman Semalaman BDCB kekal 4 peratus

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 DIS – Selaras dengan persekitaran kadar faedah dan keadaan ekonomi serta pasaran global terkini, setakat penghujung November 2023, Jawatankuasa Kestabilan Kewangan dan Monetari (FMSC) telah mengekalkan Kadar Pinjaman Semalaman Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) pada 4 peratus dan Kadar Simpanan pada 1.5 peratus.

    Pengekalan kadar berkenaan adalah untuk memastikan operasi monetari BDCB kekal selaras dengan prinsip Lembaga Mata Wang dan pada masa yang sama, bagi menggalakkan aktiviti pasaran wang domestik.

    BDCB akan sentiasa memastikan tahap kecairan yang mencukupi untuk mendukung keberkesanan sistem kewangan domestik.

    Pada suku ketiga 2023, sektor kewangan Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada institusi-institusi kewangan Islam dan konvensional, merekodkan penurunan aset sebanyak 5.9 peratus tahun-ke-tahun di mana nilai keseluruhan aset adalah berjumlah $23.3 bilion dan $13.3 bilion merupakan aset kewangan Islam, manakala nilai aset sektor konvensional adalah berjumlah $10 bilion.

    Institusi-institusi penerima deposit menyumbang sebanyak 91.7 peratus kepada jumlah keseluruhan aset sektor kewangan dengan nilai aset berjumlah $21.4 bilion.

    Gambar Freepik

    Perkembangan sektor monetari dan kewangan Negara Brunei Darussalam berkenaan dikongsi dalam Kenyataan Dasar BDCB 2/2023 yang dikeluarkan oleh BDCB, di sini, baru-baru ini.

    Dalam kenyataan dasar itu, BDCB menyatakan bahawa berdasarkan analisis dan penilaian kehematan makro bagi suku tahun ketiga 2023, risiko luaran dan makroekonomi tempatan adalah terdedah kepada turun naik ekonomi global.

    Walau bagaimanapun, industri perbankan kekal kukuh dan berdaya tahan dengan Agregat Capital Adequacy Ratio (CAR) sebanyak 19.6 peratus iaitu melebihi keperluan minimum 10 peratus seperti yang ditetapkan di dalam Perintah Perbankan, 2006 dan Perintah Perbankan Islam, 2008.

    Industri perbankan juga mempunyai aset cair yang mencukupi untuk mendukung aktiviti-aktiviti perantaraan kewangan dengan Nisbah Aset Cair kepada Aset Keseluruhan sebanyak 45.5 peratus pada suku ketiga 2023.

    Jumlah keseluruhan aset industri perbankan telah menurun sebanyak 6.7 peratus tahun-ke-tahun kepada $19.4 bilion disebabkan oleh penurunan dalam deposit sebanyak 9.7 peratus tahun-ke-tahun kepada $16 bilion, terutamanya bagi simpanan bertempoh.

    Walau bagaimanapun, pulangan keuntungan dari industri perbankan telah meningkat dengan agregat Nisbah Pulangan kepada Aset dan Pulangan kepada Ekuiti masing-masing pada kadar 2.2 peratus dan 14.2 peratus, didorong oleh persekitaran kadar faedah atau keuntungan global yang masih tinggi.

    Pada suku ketiga 2023, bank-bank terus membekalkan aliran kredit kepada ekonomi dengan peningkatan jumlah keseluruhan pinjaman atau pembiayaan sebanyak 6.2 peratus tahun-ke-tahun kepada $6.9 bilion. Peningkatan itu disumbangkan oleh aktiviti pinjaman atau pembiayaan sektor perniagaan terutamanya Sektor Hartanah Komersial dan Perkhidmatan.

    Kualiti aset bagi industri perbankan telah bertambah baik pada suku ketiga 2023 dengan Nisbah Bersih Pinjaman atau Pembiayaan Tertunggak Bersih pada 1.6 peratus berbanding 2 peratus pada 2022.

    BDCB menyatakan akan sentiasa mengenal pasti dan membangunkan rangka kerja pengawalseliaan yang sesuai dengan amalan terbaik. Ke arah itu, satu garis panduan baharu iaitu Guidelines on Liquidity Risk Management yang menggariskan prinsip dan amalan terbaik dalam pengurusan risiko kecairan bagi seluruh operasi perbankan telah dikeluarkan kepada semua bank.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda