Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kadar vaksinasi kanak-kanak global terbantut

    GENEVA, 15 JULAI – Kadar vaksinasi kanak-kanak global telah terbantut, menyebabkan berjuta-juta orang lagi kanak-kanak tidak atau kurang vaksinasi berbanding sebelum pandemik, kata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini, memberi amaran tentang jurang perlindungan berbahaya yang membolehkan wabak penyakit seperti campak.

    Pada 2023, 84 peratus kanak-kanak, atau 108 juta, menerima tiga dos vaksin melawan difteria, tetanus dan pertusis (DTP), dengan dos ketiga berfungsi sebagai penanda utama untuk liputan imunisasi global, menurut data yang diterbitkan oleh agensi-agensi kesihatan dan kanak-kanak PBB.

    Itu adalah peratusan yang sama seperti tahun sebelumnya, bermakna kemajuan sederhana yang dilihat pada 2022 selepas kejatuhan mendadak semasa krisis COVID-19 telah ‘terbantut’, organisasi-organisasi itu memberi amaran. Kadar itu adalah 86 peratus pada 2019 sebelum pandemik.

    “Trend terkini menunjukkan bahawa banyak negara terus terlepas terlalu ramai kanak-kanak,” kata ketua UNICEF, Catherine Russell dalam satu kenyataan bersama.

    Malah, tambahan 2.7 juta orang kanak-kanak kekal tidak atau kurang vaksinasi tahun lepas berbanding tahap pra-pandemik pada 2019, organisasi-organisasi berkenaan mendapati.

    Gambar Unsplash

    “Kita berada di luar landasan,” kata ketua vaksin Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Kate O’Brien kepada pemberita.

    “Liputan imunisasi global masih belum pulih sepenuhnya daripada kemunduran bersejarah yang kita lihat semasa pandemik itu.”

    Bukan sahaja kemajuan terhenti, malah bilangan kanak-kanak dos sifar, yang tidak menerima satu pun suntikan, meningkat kepada 14.5 juta tahun lepas daripada 13.9 juta pada 2022 dan daripada 12.8 juta pada 2019, menurut data yang diterbitkan hari ini.

    “Ini meletakkan nyawa kanak-kanak yang paling terdedah kepada risiko,” O’Brien memberi amaran.

    Lebih membimbangkan ialah lebih separuh daripada kanak-kanak di dunia yang tidak divaksinasi tinggal di 31 buah negara dengan persekitaran yang rapuh dan terjejas akibat konflik, di mana mereka sangat terdedah kepada penyakit-penyakit yang boleh dicegah, kerana kekurangan akses kepada perkhidmatan keselamatan, pemakanan dan kesihatan.

    Kanak-kanak di negara sebegitu juga lebih berkemungkinan terlepas suntikan susulan yang diperlukan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda