Monday, November 28, 2022
29.1 C
Brunei

-

Kadar vaksinasi tinggi, pembukaan semula sempadan pulih sektor pelancongan

PHNOM PENH, 3 NOV – Perdana Menteri Kemboja, Samdech Techo Hun Sen hari ini berkata kadar vaksinasi yang tinggi dan pembukaan semula sempadan telah membantu memulihkan industri pelancongan negaranya, lapor Xinhua.

Dalam perutusan pada pembukaan Mesyuarat Menteri Pelancongan Stra-tegi Kerjasama Ekonomi Ayeyawa-dy-Chao Phraya-Mekong (ACMECS) kelima dan Mesyuarat Menteri-menteri Pelancongan Kemboja-Laos-Myanmar-Vietnam (CLMV) Keenam di wilayah Siem Reap, Hun Sen berkata vaksin telah membina imuniti kelompok di Kemboja hingga membolehkan negara itu membuka semula sempadannya sejak akhir 2021.

“Berkat polisi vaksinasi sebagai kunci utama, termasuk keberkesanan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Promosi Pelancongan Kemboja dan Pelan Pemulihan semasa dan selepas COVID-19 2020-2025, kedatangan pelancong antarabangsa ke Kemboja semakin meningkat,” katanya.

Kemboja mengalu-alukan 1.24 juta pelawat antarabangsa dalam tempoh sembilan bulan pertama 2022 iaitu meningkat 861 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, menurut data rasmi.

Dalam tempoh Januari-September tahun ini, pelancong dari negara jiran Thailand mendahului jumlah ketibaan pelancong antarabangsa ke Kemboja diikuti Vietnam, China, Amerika Syarikat dan Indonesia.

Menteri Pelancongan Thong Khon berkata negara Asia Tenggara itu dijangka menarik kunjungan 1.5 juta hingga 2 juta pelancong antarabangsa pada 2022 dan jumlah pelancong dijangka mencecah angka ketika pra-pandemik untuk tahun 2026 atau 2027.

Ketika pra-pandemik, negara itu mencatatkan ketibaan 6.6 juta pelancong antarabangsa pada 2019 dan menjana pendapatan AS$4.92 bilion.

Kemboja menyaksikan kejayaan besar dalam mengawal wabak itu susulan tiada kematian baharu direkodkan akibat COVID-19 sejak April kerana 91.1 peratus daripada 16 juta penduduknya telah lengkap divaksin, menurut Kementerian Kesihatan.

Vaksin Sinovac dan Sinopharm keluaran China telah digunakan secara meluas dalam program imunisasi kerajaan. – Bernama

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Ratusan bantah sekatan COVID China

BEIJING, 27 NOV – Bantahan terhadap kawalan koronavirus di China yang telah mengurungkan jutaan penduduk di rumah telah merebak ke Shanghai dan bandar lain...
- Advertisment -