BANGKOK, 30 OGOS – Thailand hari ini menggesa semua wanita hamil untuk mendapatkan vaksin COVID-19 kerana jumlah ibu mengandung yang belum divaksinasi dijangkiti virus kian meningkat.
Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata, kadar vaksinasi dalam kalangan wanita hamil yang usia kandungan sekurang-kurangnya 12 minggu, amat rendah iaitu hanya 7.5 peratus atau 37,357 daripada 500,000 orang. Beliau berkata hanya 3,533 atau 0.7 peratus sahaja yang lengkap dua dos.
“Sehingga kini, kira-kira 2,542 ibu hamil telah dijangkiti COVID-19 dan 68 kematian dilaporkan. Kadar wanita hamil yang dijangkiti COVID-19 telah meningkat sejak Jun,” katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.
Sementara itu, menurut jurucakap kerajaan Thanakorn Wangboonkongchana, Thailand akan mendapatkan tambahan 9.9 juta dos vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech.
Beliau berkata, Kabinet hari ini meluluskan 4.7 bilion baht bagi mendapatkan vaksin mRNA tambahan untuk kumpulan berisiko tinggi termasuk pesakit yang mempunyai masalah kesihatan, wanita hamil, dan kanak-kanak berusia antara 12 hingga 17 tahun.
Terkini, kabinet meluluskan pembelian 100 juta dos vaksin COVID-19 termasuk 61 juta dos AstraZeneca, Sinovac (19 juta dos) dan Pfizer-BioNTech (20 juta dos). – Bernama