Wednesday, April 16, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kaedah baharu tangkap ketam

    CALIFORNIA – Selepas bertahun-tahun musim menangkap ketam dipendekkan bagi mengelakkan ikan paus terbelit di pantai barat, nelayan ketam di California kini sedang mencuba kaedah penangkapan baharu yang memboleh-kan mereka berada lebih lama di laut sambil memastikan mamalia laut kekal selamat.

    Negeri itu telah menjalankan program perintis sejak tahun 2023 untuk menguji peralatan yang dikenali sebagai “pop-up gear” bagi melindungi ikan paus sambil mencari penyelesaian kepada kesusahan yang dihadapi oleh para nelayan. Diharapkan peralatan ini akan diluluskan sepenuhnya untuk musim menangkap ketam Dungeness pada musim bunga tahun 2026.

    Peralatan ini menggunakan alat kawalan jauh untuk menarik tali yang diletakkan secara mendatar di dasar laut. Ia juga sedang diuji untuk penangkapan udang galah di Maine, ikan bass hitam di Georgia, serta dalam industri perikanan di Australia dan Kanada.

    “Malangnya, sudah enam tahun kami mengalami kelewatan atau penutupan awal kerana paus,” kata Brand Little, seorang nelayan ketam Dungeness dari San Francisco yang terlibat dalam program perintis tersebut.

    “Ini adalah cara untuk mengembalikan semula industri kami,” katanya.

    Kru kapal memuatkan perangkap ketam ke atas bot Pale Horse di San Francisco, pada 10 April. – AP
    Little (kanan), memuatkan tali ke bot Little Pale Horse di Pier 45 di San Francisco – AP
    Seorang kru kapal mengikat perangkap ketam sebelum memuatkannya ke dalam bot Pale Horse di Pier 45 di San Francisco. – AP
    Kru kapal memuatkan perangkap ke atas bot Pale Horse di Pier 45 di San Francisco. – AP
    Gambar AP
    Gambar AP

    Usaha ini muncul susulan peningkatan laporan mengenai ikan paus yang terbelit di Pantai Pasifik kira-kira sedekad lalu semasa berlakunya gelombang haba laut.

    Perubahan suhu laut itu menyebabkan ikan paus — kebanyakannya spesies bongkok yang terancam atau hampir pupus — mencari sumber makanan lebih dekat dengan pantai California, di mana ia akhirnya terperangkap dalam tali menegak yang menghubungkan bubu ketam di dasar laut dengan pelampung yang terapung di permukaan.

    Sebagai tindak balas, pihak berkuasa California mengharamkan aktiviti menangkap ketam Dungeness apabila kehadiran ikan paus dikesan. Larangan itu telah memendekkan musim menangkap secara drastik, menyebabkan nelayan hanya mempunyai masa yang singkat untuk mencari rezeki. Oleh itu, sebahagian daripada mereka mula mencuba peralatan pop-up, dan mendapati kaedah ini berkesan serta berbaloi meskipun melibatkan kos tambahan.

    TIADA LAGI GARIS MENEGAK

    Peralatan ini membolehkan nelayan menggunakan alat pelepas akustik yang dikendalikan dari jauh untuk menaikkan bubu ketam dari dasar laut tanpa perlu diikat pada pelampung yang terapung.

    Bubu-bubu tersebut boleh disambungkan antara satu sama lain dengan tali yang diletakkan secara mendatar dan bukannya menegak, supaya ikan paus boleh lalu di atasnya semasa bermigrasi melalui kawasan tersebut.

    “Jika awda menghapuskan tali menegak, awda telah menghapuskan risiko belitan, sekali gus membolehkan industri perikanan terus beroperasi,” kata Ryan Bartling, penyelia saintis alam sekitar kanan dari Jabatan Ikan dan Hidupan Liar California.

    Ramai nelayan ketam Dungeness yang telah lama berkecimpung dalam industri ini agak lambat menerima idea tersebut disebabkan oleh kosnya, yang boleh mencecah AS$1,000 bagi setiap peranti pop-up, belum termasuk unit kawalan di atas bot.

    Ia juga mengambil masa untuk memasang semula bubu selepas musim sejuk dengan gaya penangkapan “derby”, yang biasanya berlaku ketika ikan paus sedang beranak di perairan yang lebih panas di selatan.

    Bartling berkata terdapat juga keperluan untuk sistem penjejakan yang bersatu kerana peralatan ini tidak kelihatan di permukaan.

    Menurut Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA), lebih 50 ekor ikan paus terbelit dalam jaring tangkapan pada tahun 2015, berbanding purata tahunan sebanyak 10 ekor pada tahun-tahun sebelumnya.

    Kebanyakannya paus bongkok (humpback), yang disenaraikan sebagai spesies terancam sejak tahun 1970an dan pulih sejak perlindungan dikenakan, menurut agensi itu.

    Pihak pencinta alam sekitar telah menyaman negeri California berikutan peningkatan kes belitan ini dan mencapai penyelesaian dengan kerajaan negeri pada tahun 2019, yang menggalakkan penggunaan peralatan tanpa tali (ropeless gear).

    Bart Chadwick, pemilik syarikat Sub Sea Sonics yang berpusat di San Diego, berkata beliau sebelum ini menggunakan teknologi pop-up untuk mengambil semula peralatan mahal ketika menjalankan kerja-kerja pemantauan alam sekitar di laut. Apabila beliau bersara, beliau mengubah suai teknologi tersebut supaya boleh digunakan untuk tujuan perikanan.

    “Ia membolehkan mereka menangkap ikan di kawasan yang mereka tidak dapat lakukan sebelum ini,” kata Chadwick, sambil menambah teknologi ini juga mengurangkan kehilangan peralatan.

    HANYA UNTUK MUSIM BUNGA

    Kebanyakan nelayan ketam Dungeness memperoleh pendapatan pada awal musim apabila paus tidak berada berhampiran pantai California. Pakar berkata peralatan pop-up tidak sesuai digunakan pada masa itu kerana kesesakan, dan buat masa ini teknologi tersebut hanya dipertimbangkan untuk musim bunga yang lebih pendek, yang bermula pada 16 April di California tengah.

    Geoff Shester, saintis kanan di organisasi pemuliharaan Oceana, berkata beliau percaya kaedah itu boleh digunakan secara lebih meluas jika nelayan mendapati ia cekap dan berbaloi dari segi kos. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda