SEMEMANGNYA anda merupakan golongan ibu bapa yang hebat kalau rajin bercerita atau membacakan buku cerita untuk anak secara konsisten setiap hari.
Kalau kita tengok cara orang putih membesarkan anak, mereka memang suka bercerita atau membacakan buku cerita untuk anak-anak. Ternyata, amalan suka bercerita ini sebenarnya memberikan kesan positif terhadap tumbesaran anak.
Anda pasti tidak akan malas hendak bercerita atau membacakan buku cerita kepada anak kalau tahu manfaatnya seperti berikut.
Anak cepat bercakap
Kemampuan pertuturan dan memperkaya kosa kata anak terutama si kecil yang sedang belajar bercakap boleh dikembangmajukan apabila mereka mendengar melalui kisah cerita yang diceritakan.

Ia akan membantu untuk memperbanyakkan penguasaan kosa katanya ketika bercakap.
Secara tidak langsung kita sebenarnya telah mengajar banyak perkataan baru kepada anak melalui amalan bercerita.
Melalui kaedah bercerita juga dapat melatih dan memperkaya kemampuan berbahasa dan memahami struktur bahasa yang lebih sukar.
Bercerita adalah proses untuk mengenalkan bentuk-bentuk emosi dan ekspresi kepada anak seperti marah, sedih, gembira, kesal dan lucu.
Ia juga dapat membantu untuk memperkayakan pengalaman emosinya yang akan mempengaruhi pembentukan dan perkembangan kecerdasan emosionalnya. Sebaiknya semasa bercerita, berikan penekanan intonasi pada bentuk emosi mengikut jalan cerita.
Misalnya dengan menunjukkan mimik muka atau ekspresi yang bersesuaian sehingga anak anda mampu mengenali dan memahami bentuk-bentuk emosi tersebut.
Aktiviti bercerita juga memberikan kesan menyeronokkan, bahagia dan ceria terutama bila mendengar cerita kelakar.
Secara psikologi, cerita kelakar akan membuatkan anak berasa gembira dan ceria malah ia juga turut membantu anak untuk memahami nilai-nilai murni yang hendak diajarkan daripada cerita tersebut. Namun, jangan sekali-kali bercerita kisah lucu yang memperlihatkan kebodohan atau kekurangan orang lain.
Anak kreatif dan pandai berimaginasi
Kaedah bercerita juga merangsang daya imaginasi dan kreativiti anak, menguatkan memori serta membuatkan anak untuk mampu berfikir lebih kreatif dan cerdas.
Jalan cerita yang mempunyai pelbagai bentuk emosi dapat meningkatkan daya imaginasi anak sehingga dia dapat belajar dengan cara membayangkan cerita tersebut. Jangan terkejut jika nanti anak kecil anda mampu untuk menceritakan kembali cerita tersebut dengan lengkap.
Selain dari itu sesekali biarkan anda bercerita dengan penutup yang tergantung, biarkan mereka belajar menjadi kreatif dengan daya imaginasi untuk menghabiskan cerita tersebut.
Secara tidak langsung ia membantu anak melatih daya imaginasi dan kreativitinya. Ia sangat berguna apabila dia melangkah ke alam persekolahan terutama apabila membuat karangan. Di samping itu, kaedah penceritaan juga dapat menumbuhkan perasaan empati dalam diri anak. Oleh itu semasa bercerita terutama jika cerita sedih atau menyentuh jiwa pastikan ia dapat menyentuh perasaannya dan menimbulkan rasa empati.
Sekurang-kurangnya selepas ini jika dia melihat sendiri kisah sedih orang lain, dia mudah berasa simpati dan empati dan terus ingin membantu.
Cerita yang disampaikan bukan sahaja menyeronokkan anak tetapi mampu untuk memberi manfaat luar biasa bagi kecerdasan anak secara kognitif, emosional, spiritual dan visual.
Dari segi kognitif ia memudahkan proses pembelajaran anak kerana kemampuan berfikir otak lebih mudah menyerap nilai yang terkandung dalam cerita.
Secara emosional pula, cerita dapat mempengaruhi perasaan hati dan mencetuskan perasaan empati dan positif dalam diri anak.
Sementara dari aspek spiritual, cerita boleh mendidik jiwa anak mempercayai kewujudan Tuhan sebagai pencipta yang paling agung dan yang paling layak disembah.
Jika kita sering bercerita kisah ketuhanan dan kisah para Nabi, Rasul dan Sahabat, secara tidak langsung mereka dapat mengaplikasikan segala kebaikan yang dipelajari daripada cerita yang didengar dalam kehidupan seharian. – Agensi