Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kaedah Empowerment diperkenalkan semula

    KUALA LUMPUR, 11 JUN – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia memperkenalkan semula penyaluran peruntukan melalui kaedah empowerment kepada 19 Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) melibatkan 23 jenis disiplin sukan bagi kegunaan program Podium dan Pelapis Kebangsaan.

    Menteri berkenaan, Hannah Yeoh berkata PSK terpilih perlu mematuhi beberapa syarat ditetapkan KBS seperti mewujudkan akaun khas bagi penerimaan kewangan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) serta membenarkan akaun berkenaan diaudit oleh juruaudit dilantik MSN.

    Hannah berkata kaedah dilaksanakan melalui belanjawan Kerajaan MADANI itu berteraskan konsep akauntabiliti kepada PSK.

    “Kaedah empowerment ini mula dilaksanakan bulan Jun tahun ini di mana peruntukan kewangan akan disalur berdasarkan pelan latihan dipersetujui MSN dan PSK.

    “Penyaluran akan dibuat bagi tempoh empat bulan sekali di mana tahun ini hanya sebanyak dua fasa iaitu fasa satu pada Jun hingga Ogos (hanya tiga bulan disebabkan bermula Jun), serta fasa dua bermula September hingga Disember,” katanya selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara MSN dan PSK di Casa 4, MSN di Bukit Jalil hari ini.

    Gambar Bernama

    Hannah berkata peruntukan setiap PSK berbeza mengikut keperluan mereka yang akan diputuskan jawatankuasa MSN berdasarkan pertandingan yang dipersetujui bersama. 

    Beliau turut melahirkan harapan agar PSK mematuhi peraturan kewangan ditetapkan MSN, selain berbelanja berdasarkan kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sukan (JKK).

    Hannah berharap usaha ini membawa impak positif dalam pembangunan sukan Malaysia serta mampu melahirkan lebih ramai atlet berprestasi untuk membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa. 

    Sementara itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata badan induk itu akan bekerjasama dengan MSN bagi memberi pendidikan mengenai penggunaan akaun khas untuk mempertingkatkan serta mengukuhkan tadbir urus PSK. 

    Antara PSK terpilih ialah Kesatuan Olahraga Malaysia, Persatuan Badminton Malaysia, Persekutuan Renang Malaysia dan Konfederasi Hoki Malaysia.

    Difahamkan kaedah penyaluran sebegini pernah dilaksanakan MSN kepada PSK pada 2017 namun dihentikan tiga tahun selepas itu atas isu kewangan dihadapi MSN. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda