(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Siri pertama
Islam sangat menitikberatkan kebersihan secara keseluruhannya, pada tubuh badan, pakaian, makanan dan minuman, tempat tinggal, persekitaran dan selainnya.
Kepentingan menjaga kebersihan itu sangat jelas dalam Islam, lebih-lebih lagi jika perkara mengenai kebersihan itu bersangkut-paut dengan ibadat seperti sembahyang dan tawaf. Ini kerana ibadat seperti sembahyang dan tawaf itu boleh terjejas apabila dikerjakan dalam keadaan tidak suci.
Walau bagaimanapun dari segi syarak tidak semua yang bersih itu suci dan tidak semua yang kotor itu najis. Menurut syarak, kotoran dan najis mempunyai perbezaan antara keduanya, sebagai misal lumpur adalah kotor tetapi belum tentu ia najis.
Najis ‘aini dan najis hukmi
Najis terbahagi kepada dua bentuk, iaitu najis ‘aini dan najis hukmi.
Najis ‘aini, iaitu zat (‘ain) najis tersebut atau sifatnya iaitu rasa, warna dan bau yang boleh dikesan dengan pancaindera.


Najis hukmi, iaitu zat (‘ain) najis dan sifatnya yang tidak boleh dikesan dengan pancaindera, oleh sebab tersembunyi, tidak kelihatan atau hilang kesan najis tersebut seperti air kencing yang telah kering.
Selain itu, najis juga dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu najis mukhaffafah, najis mutawassithah, dan najis mughallazhah.
Najis mukhaffafah (ringan), iaitu air kencing kanak-kanak lelaki yang belum sampai umur dua tahun dan belum makan makanan secara mengenyangkan melainkan air susu ibu sahaja.
Najis mutawassithah (pertengahan), iaitu najis selain mukhaffafah dan mughallazhah seperti tahi, kencing, darah, nanah dan selainnya.
Najis mughallazhah (berat), iaitu anjing dan khinzir, termasuk campuran atau kacukan daripada kedua binatang anjing dan khinzir, sama ada zatnya mahupun (cecair lembapan) peluh, air liur, kencing, tahi dan sebagainya.
Cara membersihkan najis ‘aini dan hukmi
Cara membersihkan atau menyucikan bahagian atau tempat yang mampat (bukan jenis cecair) yang terkena najis adalah seperti berikut:
Najis ‘aini
Sesuatu bahagian atau tempat yang terkena selain najis mughallazhah (anjing dan khinzir), cara membersihkannya ialah menghilangkan zat najis tersebut terlebih dahulu. Kemudian diikuti dengan cucian atau basuhan (jirusan) menggunakan air mutlak yang menghilangkan atau menghapuskan sifat najis iaitu rasa, warna dan bau. Jika perlu menggunakan seumpama sabun dan dia mampu mengadakannya, maka hendaklah digunakan.
Manakala sesuatu bahagian atau tempat yang terkena najis mughallazhah (anjing dan khinzir), maka cara membersihkannya atau menyucikannya ialah dengan cara menyertu.
Caranya ialah bahagian yang terkena najis itu hendaklah dibasuh sebanyak tujuh kali dengan air mutlak, salah satu daripadanya hendaklah air yang bercampur dengan tanah yang suci dengan kadar sekira-kira keruh air tersebut.
Perlu juga diingat, jika masih terdapat zat najis, maka hendaklah terlebih dahulu dihilangkan zat najis itu kemudian barulah dilakukan sertu.
Perkara ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Apabila anjing menjilat pada bejana salah seorang di antara kamu, maka cucilah ia dengan tujuh kali cucian, salah satunya (air) yang bercampur dengan tanah.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)
Keadaan yang dituntut untuk menyertu sesuatu bahagian atau tempat yang terkena najis mughallazhah ialah apabila salah satu atau kedua-dua pihak itu dalam keadaan basah, sama ada kerana menyentuh atau tersentuh najis tersebut atau suatu bahagian atau tempat itu menjadi najis disebabkan olehnya.
Najis hukmi
Cara membersihkan atau menyucikan bahagian atau tempat yang terkena najis hukmi, iaitu yang tidak lagi didapati zat dan sifat (bau, rasa dan warna) najis, seperti kencing yang telah kering, ialah memadai dengan menjirus (mengalirkan) air ke atasnya sebanyak satu kali jirusan.
Memadai, iaitu terhasil, kebersihan dan kesucian bahagian atau tempat yang terkena najis itu walaupun tanpa dilakukan oleh sesiapa (pelaku), umpama bahagian atau tempat itu dijirus atau disirami oleh air hujan.
Manakala cara menyucikan najis hukmi daripada jenis najis mughallazhah yang sudah hilang zat dan sifatnya ialah dengan cara menyertu sepertimana yang telah dijelaskan terdahulu.
Kesan najis ‘aini yang sukar dihilangkan atau dihapuskan
Dalam keadaan tertentu, walaupun zat najis itu dapat dihilangkan, namun kadang-kala terdapat kesukaran untuk menghilangkan keseluruhan kesan atau sifat najis, seumpama kesan warna darah dan bau minuman keras yang sukar untuk dihilangkan.
Jika ini berlaku, memadailah dengan menghilangkan dua daripada tiga sifat najis, umpamanya rasa dan warna atau rasa dan bau. Akan tetapi hendaklah digosok dengan bersungguh-sungguh terlebih dahulu bahagian atau tempat yang masih ada kesan bau atau warna dengan air sebanyak tiga kali.
Setelah dilakukan sedemikian dan masih juga terdapat bau atau warna najis, sekalipun daripada najis mughallazhah, maka bahagian atau tempat itu dianggap sudah bersih atau suci. Sekiranya dia berupaya untuk menghilangkan kesan najis tersebut selepas itu, maka tidak wajib ke atasnya lagi untuk menghilangkannya.
Adapun sifat ‘rasa’ daripada najis tersebut, mestilah dihilangkan, kecuali jika terdapat keuzuran, maka ia adalah dimaafkan.
Maksud keuzuran di sini rasa najis itu tidak hilang melainkan dengan dipotong bahagian yang terkena najis itu. Sekiranya kemudian daripada itu dia berupaya untuk menghilangkan ‘rasa’ najis tersebut, maka wajib menghilangkannya. Manakala dalam menentukan rasa dan bau najis tersebut sudah hilang atau belum, adalah memadai dengan adanya sangkaan yang kuat bahawa rasa dan bau najis itu sudah hilang dan ianya tidak wajib diuji dengan merasa-nya ataupun menghidunya.