Oleh Jessica Damiano –
Saya melihat banyak hantaran di media sosial yang mengesyorkan penggunaan pita pelekat mengelilingi batang pokok untuk menghalang serangga spotted lanternflies dan perosak taman lain daripada memanjat ke kanopi serta memakan daun.
Namun, pita tersebut turut memerangkap ulat beluncas, rama-rama, lebah dan juga burung, yang sukar dilepaskan tanpa mencederakan kaki atau mematahkan sayap haiwan.
Begitu juga, perangkap gam dianggap kejam kerana ia memerangkap segala-galanya iaitu daripada serangga kecil di ruang bawah tanah termasuklah tikus, sehingga ia mati kebuluran.
Baru-baru ini, selepas terdengar bunyi di loteng, saya mendapati sekumpulan tupai telah menjadikan ruang itu sebagai tempat tinggal, dipercayai selepas ibu tupai yang bunting berjaya masuk melalui lubang pengudaraan yang tidak ditutup.
Pada waktu itu, menutup lubang berkenaan mungkin mudah, tetapi ia akan memerangkap haiwan-haiwan itu di dalam.





Selepas memerhatikan beberapa hari, saya dapati tupai tersebut akan keluar setiap pagi dan hanya kembali selepas matahari terbenam. Jadi, apabila mereka keluar pada suatu pagi, saya menutup lubang pengudaraan itu, sekali gus menghalang haiwan itu daripada masuk semula. Masalah pun selesai.
Ia memerlukan lebih banyak kesabaran berbanding memasang perangkap atau meletakkan racun, atau mengupah orang untuk ‘menyelesaikannya’, tetapi penantian itu berbaloi dan langsung tidak mengeluarkan kos.
HIDUP BERSAMA HIDUPAN LIAR
Haiwan yang dianggap ‘pengacau’ seperti tupai, kelawar dan rakun sebenarnya hanya menjalani kehidupannya, sama seperti kita, memerlukan makanan, air dan tempat berteduh. Bukan salah haiwan-haiwan itu apabila hutan ditebang, padang diturap dan kawasan perumahan dibina di habitatnya.
Haiwan berkenaan tiada tempat lain dituju, jadi sekurang-kurangnya kita boleh melayannya dengan berperikemanusiaan serta berkongsi ruang luar bersama haiwan sedaya mungkin.
Namun, jika ia memasuki ruang kediaman, langkah terbaik adalah mengusirnya keluar seperti yang saya lakukan.
PENCEGAHAN SEBENARNYA LEBIH BAIK
Perhatikan celah-celah di loteng, ruang bawah tanah, sekitar tingkap, pintu dan soffit, dengan mengambil kira bahawa tikus mampu menyelinap melalui lubang sekecil saiz pensel.
Periksa juga bahagian bawah bumbung, penutup cerobong yang hilang dan ventilasi rosak.
Pastikan tiada haiwan di dalam sebelum menutupnya. Jika ada penghuni yang tidak diingini, tunggu sehingga ia keluar atau umpan ia keluar, supaya haiwan itu tidak mati di dalam dinding.
Bagi serangga yang menggigit, terdapat cara lebih selamat berbanding penggunaan racun serangga. Racun bukan sahaja mendedahkan manusia, haiwan peliharaan dan sumber air bawah tanah kepada bahan kimia berbahaya, malah turut membunuh pelbagai serangga lain yang menjadi sumber makanan penting bagi burung. Racun juga perlu digunakan berulang kali untuk mengekalkan keberkesanannya.
Sebaliknya, cegah nyamuk daripada membiak di halaman awda sejak awal lagi.
• Jangan biarkan air bertakung di sekitar rumah. Biasakan mengosongkan piring pasu, penutup tong sampah, tayar, permainan kanak-kanak atau bekas lain selepas hujan atau siraman.
• Tambahkan BTI (Bacillus thuringiensis israelensis), bakteria semula jadi yang dijual sebagai Mosquito Dunks atau Mosquito Bits, ke dalam air bertakung seperti kolam burung atau kolam kecil. Kaedah kawalan biologi ini menghalang larva nyamuk, lalat kecil dan lalat hitam daripada membesar, tetapi tidak berbahaya kepada manusia, haiwan peliharaan, hidupan liar, serangga bermanfaat, ikan dan tumbuhan.
Untuk menghalang haiwan liar:
• Elakkan memberi makan haiwan peliharaan di luar rumah.
• Pastikan penutup tong sampah bertutup rapat.
• Tutup semua pintu masuk, tutup pintu garaj, pasang pagar dan lakukan apa sahaja yang boleh menjadikan kawasan awda kurang menarik bagi haiwan.
Jika ada anak haiwan, jangan asingkan daripada ibunya. Tunggu beberapa minggu sehingga ia cukup besar untuk keluar sendiri, seperti tupai di loteng saya. Atau hubungi pusat rehabilitasi hidupan liar yang berlesen untuk bantuan.
Elakkan memindah haiwan ke tempat lain. Banyak yang tidak akan bertahan hidup; ada pula yang akan kembali, kadang-kadang dari jarak yang tidak dijangka. Malah, ia mungkin menyalahi undang-undang di sesetengah negara.
Menggunakan racun serangga dalam tin semburan mungkin kelihatan sebagai penyelesaian mudah untuk musim panas bebas serangga, tetapi ia hanya wajar dipertimbangkan jika benar-benar berlaku infestasi. Itu pun, mulakan dengan kaedah paling selamat dan kurang toksik serta hanya tingkatkan tahap rawatan jika perlu.
MASALAH DI DALAM RUMAH
Sebagai contoh, semut di dapur boleh dikawal dengan berkesan menggunakan umpan khas.
Sesetengah lipas juga boleh dikawal dengan umpan, tetapi jika tidak berkesan, awda boleh menggunakan khidmat pengendali racun perosak bertauliah (lipas membiak dengan cepat, jadi perlu ada langkah bijak).
Jangan lupa memainkan peranan awda dengan mengurangkan kekotoran, memastikan kebersihan serta menutup celah-celah kemasukan bagi mengelakkan ia berulang.
Begitu juga, jarang sekali hanya seekor tikus berada di dalam rumah, kerana haiwan ini juga pantas membiak.
Untuk menghapuskan tikus di dalam rumah, gunakan perangkap snap yang kuat yang boleh membunuh serta-merta tanpa menyebabkan haiwan menderita. – AP

