KOTA BHARU, 31 MEI – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengemukakan rayuan bagi mengekalkan tawaran pemotongan levi sebanyak RM100,000 yang pernah ditawarkan oleh kerajaan negeri kepada persatuan itu pada 2018.
Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman berkata tawaran itu dibuat ketika Bibi Ramjani Ilias Khas menggalas tugas sebagai presiden persatuan namun pembayaran tidak dilakukan menyebabkan pengurusan baharu terpaksa menanggung hutang berkenaan.
“KAFA akan membuat rayuan agar tawaran pemotongan itu kekal sehingga 2020 memandangkan persatuan ketika ini berdepan masalah kewangan selepas terkesan dengan penularan COVID-19 yang melanda negara,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan negeri Kelantan tidak berdiam diri dalam membantu kemelut kewangan KAFA dengan menawarkan pemotongan hutang dan levi penggunaan Stadium Sultan Muhammad lV berjumlah RM1 juta. – Bernama