Oleh Atira Khalisha Nor Adnan –
KUALA LUMPUR – Jika dahulu, restoran mamak atau kedai makan yang beroperasi hingga lewat malam menjadi lokasi pilihan umat Islam yang mahu ‘bermoreh’ atau makan sambil berehat selepas menunaikan solat tarawih.
Kini, pilihan lokasi untuk moreh semakin pelbagai apabila banyak kafe ‘hipster’ yang jarang beroperasi sampai malam mula dibuka hingga 2 pagi, mewujudkan fenomena baharu dalam kalangan anak muda.
Tinjauan Bernama di sekitar ibu negara mendapati rata-rata restoran hipster yang menawarkan hidangan seperti kek, pasta dan kopi dalam atmosfera lebih santai, segar dan selesa, menerima kedatangan pelanggan dengan jumlah yang luar biasa bermula 10 malam.
Malah, berdasarkan pemerhatian di media sosial, budaya ini juga menular di bandar-bandar besar di seluruh negara, antaranya Johor Bahru, Sungai Petani dan Port Dickson dengan pengguna di pelbagai platform berkongsi kemeriahan premis yang dipenuhi pelanggan meskipun jam di tangan menunjukkan waktu sudah lewat malam.
Pengusaha Dojo Treats di Petaling Jaya, Selangor, Amirul Haziq Roslan berkata kedai yang diusahakan bersama-sama dengan rakan kongsinya Azim Omar itu terpaksa menambah bilangan kerusi dan meja bagi menampung jumlah pelanggan, terutama pada hari cuti umum dan hujung minggu.
Jelas jejaka berusia 26 tahun itu, kafenya yang dibuka bermula 9 malam hingga awal pagi, menerima kedatangan pelanggan daripada pelbagai peringkat usia.
“Sebelum puasa, pelanggan kami kebanyakan penuntut Universiti Malaya, namun selepas puasa, ramai orang awam sudah mengenali kedai kami dan datang untuk moreh di sini dengan keluarga dan kawan kawan.
“Selalunya setiap pelanggan kami akan meluangkan satu hingga dua jam untuk lepak, dan kami juga akan lanjutkan waktu operasi kepada 3 pagi jika masih ada yang ingin bermoreh di sini,” katanya kepada Bernama.
Menurutnya, selain air ‘Signature Chocolate’, Strawberi Matcha dan ‘Passion Fruit’ yang menjadi pilihan utama pelanggan ketika moreh, makanan ringan seperti cheesy wedges juga laris kerana kebanyakan mereka sukakan snek sedap yang mudah dinikmati.
Sementara itu, Wan Nur Aqilah Shahirah Wan Lokman, 26, yang gemar keluar moreh selepas menunaikan solat tarawih, berkata aktiviti tersebut sudah menjadi ‘acara tahunan’ yang istimewa buatnya kerana hanya dapat dirasai pada bulan Ramadan.
“Moreh ini bagi saya macam satu tempat untuk kita rehat lepas beribadah, jadi kita nak makan-makan ringan sambil ‘bonding’ bersama keluarga atau kawan-kawan. Saya juga selalu cuba moreh di tempat berlainan sebab nak rasa juadah berbeza,” katanya yang bekerja sebagai penyampai radio.
Kata gadis yang ramah disapa Qila itu, dia memilih bermoreh di kafe kerana berasa lebih selesa untuk duduk makan tanpa terdedah kepada asap rokok yang lazimnya dilihat di premis terbuka seperti restoran mamak.
“Di kafe ini biasanya banyak ‘dos and dont’s’ dan bukan itu sahaja, saya lebih suka kafe kerana tempat itu agak estetik sebab lumrah perempuan sangat sukakan tempat-tempat yang cantik,” katanya.
Bagi Nik Nur Najla Nik Zaid, 26, selain melihat trend moreh di kafe sebagai peluang untuknya lebih produktif kerana dapat ‘bersosial’ dengan rakan-rakan selepas seharian bekerja, dia juga menganggap aktiviti itu sebagai ganjaran setelah bertarawih.
“Biasa lepas tarawih saya memang suka cari makanan dan air manis di kafe kerana pilihan lagi banyak, selesa dan paling penting buka sampai awal pagi… boleh moreh lama,” katanya. – Bernama