BANDAR GAZA – Sebuah kafe kucing di Semenanjung Gaza bertujuan untuk menceriakan penduduk Palestin dan menawarkan mereka tempat perlindungan daripada ujian kehidupan seharian di wilayah yang disekat, kata pemiliknya.
Di Kafe Kucing Meow yang dibuka minggu ini di Bandar Gaza, pemilik kafe, Nehma Maabad menyediakan makanan untuk sekumpulan anak kucing.
“Bagi saya, kucing merupakan tempat perlindungan yang melegakan saya daripada tekanan psikologi. Jadi saya terfikir untuk membuat projek yang menggabungkan perkhidmatan kepada orang ramai dengan sesuatu untuk menggembirakan mereka,” kata lelaki berusia 50 tahun itu.
Sebahagian daripada ruang itu dilengkapi dengan platform kayu yang dilapisi dengan rumput sintetik bagi memudahkan kucing untuk memanjat, manakala lukisan dan potret kucing menghiasi dinding.
Meow merupakan sebahagian daripada trend global kafe kucing yang semakin berkembang, tetapi keadaan di Gaza adalah unik.
Wilayah itu telah berada di bawah sekatan Israel yang membebankan sejak 2007 dan kesan peperangan yang berlarutan antara pejuang Palestin dan Israel kelihatan di seluruh bandar.
Pelanggan membayar hampir 10 syikal (AS$2.54) sejam untuk bermain dengan kucing, yang menurut Maabad meliputi makanan kucing dan bil klinik haiwan yang mahal.
Semasa mengunjungi kafe itu, Manar Abu Samra berkata ia merupakan harga yang berpatutan dan dia telah memberitahu rakan dan kakaknya tentang usaha baharu itu.
“Kualiti kucing di sini adalah bagus dan comel, jadi ia merupakan idea yang baik walaupun agak asing bagi masyarakat dan apabila saya mendengarnya saya berasa gembira,” katanya.
Haiwan peliharaan amat jarang ditemui di Gaza walaupun kucing sentiasa dapat dilihat, terutamanya di sekitar pelabuhan atau penjual ikan ketika mereka cuba mengambil sisa-sisa makanan.
Maabad berkata dia mempunyai kucing di rumah untuk dibawa ke Meow, manakala yang lain adalah daripada rakan-rakan.
“Idea kafe itu adalah untuk menikmati sesuatu yang menarik dengan secawan kopi. Kucing yang sedang bermain membuatkan awda tersenyum dan melupakan tekanan hidup,” katanya. – AFP