Kafe milik pelakon Lee Dong Gun yang terletak di Pulau Jeju, Korea Selatan berdepan situasi banjir akibat hujan lebat di kawasan tersebut.
Perkara itu dikongsikan menerusi video di akaun media sosial rasmi kafe tersebut pada 19 Julai, memaparkan keadaan sekitar yang dipenuhi air, menurut laporan mStar.
Antara yang terjejas adalah elemen hiasan bertemakan oasis di premis berkenaan.
Menerusi rakaman yang tular juga kelihatan sepasang pelanggan berjalan dalam keadaan berhati-hati mencari kawasan selamat.
Kafe berkenaan dibuka pada April lalu dan sejak hari pertama, ia telah mencuri tumpuan ramai dengan kehadiran pelanggan yang sanggup beratur panjang.
Namun begitu, pembukaannya turut mencetuskan kontroversi apabila beberapa pemilik perniagaan berhampiran mendakwa berlaku gangguan akibat pembinaan dan penggambaran yang dijalankan sehingga lewat malam, tanpa sebarang pemberitahuan awal.
Meskipun berdepan pelbagai cabaran, kafe milik Dong Gun itu tetap kekal sebagai salah satu destinasi popular di Pulau Jeju, hasil gabungan reka bentuk unik dan status selebriti pemiliknya. – Agensi
