Monday, October 21, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kagum keindahan landskap, seni bina Putrajaya

    Oleh Adib Noor –

    Sebut saja Malaysia, pasti ramai yang tergambar akan tentang hiruk-pikuk Kuala Lumpur atau daya tarikan warisan Pulau Pinang. Namun, hanya 25 kilometer ke selatan ibu negara, tersembunyi sebuah permata yang menawarkan kelainan iaitu Putrajaya.

    Sebagai pusat pentadbiran Malaysia, Putrajaya menggabungkan seni bina moden dengan kawasan hijau yang tenang dan reka bentuk mesra alam.

    Ia adalah bandar yang bukan sahaja memukau tetapi juga menenangkan, menarik pengunjung untuk bersantai dan menikmati pesona uniknya di mana kemodenan bertemu alam dalam keharmonian yang sempurna.

    KEAGUNGAN PENTADBIRAN

    Sebaik tiba di Putrajaya, penulis menaiki bas pelancongan dan tanpa disangka bandar tersebut rupanya rumah kepada beberapa keajaiban seni bina Malaysia yang paling menakjubkan.

    Sebagai pusat pentadbiran persekutuan Malaysia, Putrajaya adalah bandar moden yang menggabungkan seni bina, alam semula jadi dan institusi kerajaan dengan harmoni.

    GAMBAR OLEH ADIB NOOR
    Seni bina Istana Kehakiman yang mengagumkan. – GAMBAR OLEH ADIB NOOR
    Masjid Putra yang indah dengan kubah merah jambu. – GAMBAR OLEH ADIB NOOR
    GAMBAR OLEH ADIB NOOR
    GAMBAR OLEH ADIB NOOR
    GAMBAR OLEH ADIB NOOR

    Ditubuhkan pada tahun 1995 dan secara rasmi menjadi ibu kota pentadbiran pada tahun 1999, Putrajaya direka dengan teliti untuk mengurangkan kesesakan di Kuala Lumpur.

    Antara struktur ikoniknya ialah Istana Kehakiman, Kementerian Kewangan yang megah dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) menjadikan Putrajaya sebagai tempat perhentian untuk mengambil gambar.

    Sebuah masjid yang wajib dilawat ialah Masjid Putra yang indah dengan kubah merah jambu yang menjadi ciri tersendiri.

    Terletak di tepi Tasik Putrajaya yang tenang, ia menawarkan pemandangan yang indah, terutama ketika matahari terbenam dengan langit yang diwarnai jingga dan merah jambu.

    Masjid itu adalah simbol perpaduan seni bina Melayu dan Timur Tengah.

    Salah satu mercu tanda paling menonjol di Putrajaya ialah Jambatan Seri Wawasan, hasil rekaan moden yang terinspirasi daripada layar kapal. Struktur putihnya yang berkilat mencerminkan visi bandar ini ke arah kemajuan dan kemodenan.

    Merentasi 240 meter, jambatan itu meng-hubungkan pusat kerajaan dengan kawasan kediaman dan komersial.

    Pada waktu malam, jambatan itu bersinar dengan lampu LED yang berkilau, menghasilkan pemandangan menakjubkan yang terpantul pada permukaan air.

    OASIS HIJAU DALAM BANDAR MODEN

    Selain terkenal dengan reka bentuk bandar yang teliti, Putrajaya juga mengutamakan alam semula jadi dengan kawasan hijau yang subur, mengajak pelawat meneroka keindahannya.

    Taman Botani Putrajaya yang luas dan terbesar di Malaysia, menawarkan tempat rehat yang tenang seluas 92 hektar.

    Di sini, flora asli dan tumbuhan eksotik subur, menjadikannya tempat yang sesuai untuk bersiar-siar, berkelah santai atau merakam foto yang cantik.

    Bagi pencinta alam, Taman Wetland Putrajaya menyediakan suasana tenang yang sesuai untuk memerhati burung. Tempat tersebut memberikan peluang bagi menyaksikan pelbagai spesies burung dalam habitat semula jadi, menawarkan ketenangan diri daripada kehidupan bandar.

    Untuk suasana yang berinspirasikan Eropah, Taman Saujana Hijau menampilkan pokok pain, bukit yang bergelora dan taman bunga yang berwarna-warni. Ia adalah tempat yang sempurna untuk berbasikal atau berjoging sambil menikmati pemandangan yang indah, memberikan rasa Eropah di tengah-tengah Putrajaya.

    KETENTERAMAN TEPI TASIK

    Di tengah-tengah Putrajaya terletak Tasik Putrajaya yang luas. Tasik buatan manusia itu melingkari bandar, menambah suasana tenang yang melengkapkan landskap bandar moden. Airnya yang tenang menawarkan rasa kedamaian.

    Untuk menghargai keindahan Putrajaya, tiada pilihan yang lebih baik selain daripada menaiki bot di tasik tersebut. Dikendalikan oleh Cruise Tasik Putrajaya, pelayaran itu membolehkan pengunjung mengagumi seni bina menakjubkan bandar tersebut.

    Dalam perjalanan selama 30 hingga 45 minit, penumpang disajikan dengan pemandangan yang menakjubkan dari mercu tanda ikonik Putrajaya, termasuk kubah merah jambu Masjid Putra dan rekaan futuristik Jambatan Seri Wawasan.

    Semasa dalam perjalanan, penulis bernasib baik kerana berkesempatan menyaksikan matahari terbenam di bawah ufuk, langit diwarnai dengan warna emas yang memantul di permukaan tasik yang merupakan penghujung pelayaran.

    Walaupun Putrajaya bersinar pada waktu siang, selepas matahari terbenam bandar itu benar-benar berubah.

    Apabila malam menjelma, paparan cahaya yang meriah menghidupkan landskap bandar, dengan masjid, jambatan dan bangunan yang memantulkan keindahan luar biasa di permukaan tasik.

    Berjalan-jalan di tepi tasik pada waktu malam atau menaiki pelayaran malam yang tenang memberikan pengalaman yang menakjubkan, hampir seperti dalam mimpi. Ia merupakan pengalaman yang terus menjadi ingatan walaupun selepas lawatan awda berakhir.

    BELI-BELAH, MAKAN DAN SANTAI

    Perjalanan ke Putrajaya tidak lengkap tanpa terapi membeli-belah dengan IOI City Mall adalah destinasi utama.

    Sebagai salah satu pusat beli-belah terbesar di Malaysia, ia menawarkan pelbagai jenama antarabangsa dan tempatan, terdapat pelbagai restoran dan hiburan. Sama ada awda ingin meluncur di gelanggang ais, menonton filem terkini atau membeli-belah.

    Untuk suasana membeli-belah yang lebih santai, kunjungi Alamanda Shopping Centre.

    Di sana, pelbagai barangan tempatan ditawarkan, menjadikannya tempat terbaik untuk mencari cenderahati unik atau menikmati petang yang santai dengan window shopping.

    Rancang kunjungan awda dengan baik dan awda mungkin berpeluang menyaksikan acara-acara menarik di Putrajaya. Antaranya ialah Perarakan Merdeka, sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang menampilkan pengibaran bendera, perarakan ketenteraan dan persembahan budaya yang mempesona-kan. Awda juga mungkin berpeluang menyaksikan acara sukan menarik seperti maraton dan perlumbaan basikal.

    Sementara itu, Floria Putrajaya mengubah bandar tersebut menjadi syurga bunga, dengan paparan menakjubkan dan taman-taman bertema. Kedua-dua acara itu membawa keceriaan kepada bandar moden menjadikannya pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

    Putrajaya mungkin tidak selalu berada di senarai teratas destinasi percutian Malaysia, tetapi ia adalah tempat yang patut diterokai. Gabungan seni bina yang menakjubkan, landskap yang damai dan suasana yang tenang menawarkan percutian yang menyegarkan. Sama ada untuk sehari atau berhujung minggu, Putrajaya dapat memikat dengan keharmoniannya antara alam semula jadi dan kemodenan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda