KUALA LUMPUR, 28 JUN – Lebih baik untuk Malaysia Airlines Bhd ‘berkahwin’ dengan AirAsia daripada sewenang-wenangnya membiarkan jenama ikonik itu berkubur, kata wartawan veteran Datuk A. Kadir Jasin hari ini.
Beliau mengambil perhatian bahawa AirAsia pernah ‘berkahwin’ dengan Malaysia Airlines sebelumnya, merujuk kepada perjanjian pertukaran saham mereka pada 8 Ogos, 2011. Perjanjian itu tidak bertahan lama, ditamatkan lapan bulan kemudiannya.
“Apabila perceraian itu berlaku tidak lama kemudian, Malaysia Airlines semakin teruk. AirAsia dilihat terus berada dalam keadaan ‘gila talak’ kerana diketahui bahawa ia masih berminat dengan Malaysia Airlines,” kata Kadir dalam catatan di laman Facebook beliau.
Oleh itu, adalah lebih baik ‘berkahwin’ dengan AirAsia daripada sewenang-wenangnya membiarkan jenama itu berkubur, katanya.
“Namun saya faham bahawa terdapat pelamar yang lain. Saya tidak dapat katakan sama ada mereka lelaki sejati atau hanya mat jenin. Apa juga kemungkinan kesnya, rayuan saya adalah jangan biarkan nama Malaysia Airlines berkubur,” tegasnya.
Meskipun kerajaan dan pembayar cukai mungkin tidak mampu lagi untuk terus kehilangan wang ke atas Malaysia Airlines, “ini tidak bermakna gulung tikar adalah satu-satu jawapannya,” katanya.
Malaysia Airlines, katanya, merupakan nama hebat yang diiktiraf di seluruh dunia, dan terdapat banyak jalinan muhibah yang terikat padanya.
Ia adalah jenama yang mempunyai “nilai kewangan agak besar”, katanya. – Bernama