NEW DELHI – Puluhan ribu budak perempuan di seluruh Asia dipaksa berkahwin oleh keluarga terdesak yang hidup melarat disebabkan pandemik koronavirus, tatkala pekempen mengingatkan kemajuan bertahun-tahun membanteras amalan itu akan menjadi sia-sia.
Perkahwinan kanak-kanak telah lama menjadi kebiasaan dalam komuniti tradisional dari gugusan kepulauan Indonesia ke India, Pakistan dan Vietnam, tetapi jumlah tersebut telah berkurangan tatkala badan kebajikan mencatat kemajuan dengan menggalakkan akses kepada pendidikan dan perkhidmatan kesihatan wanita.
Kemajuan berkenaan terhakis apabila impak virus mengakibatkan kehilangan pekerjaan meninggalkan ibu bapa bergelut untuk menyara keluarga mereka, menurut pakar.
“Segala kemajuan yang kami catat dalam satu dekad lalu akan terhapus,” jelas Shipra Jha, ketua penglibatan Asia, di ‘Girls Not Brides NGO’.
“Perkahwinan kanak-kanak berakar-umbi dalam ketidaksamaan jantina dan struktur bapa sebagai ketua keluarga. Apa yang berlaku adalah ia semakin teruk dalam era COVID,” tambah beliau.



Kemiskinan, kekurangan pendidikan dan keadaan tidak terjamin, mendorong perkahwinan kanak-kanak walaupun pada masa stabil, maka tempoh krisis memburukkan lagi masalah, kata badan kebajikan itu.
Di seluruh dunia, kira-kira 12 juta budak perempuan dikahwinkan setiap tahun sebelum usia 18 tahun, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Namun pertubuhan itu mengingatkan bahawa melainkan tindakan segera diambil untuk mengatasi impak virus ke atas ekonomi dan sosial – 13 juta perkahwinan kanak-kanak akan berlaku dalam tempoh satu dekad akan datang.
Di Asia, badan kebajikan melaporkan perkahwinan paksa telah pun berlaku, menganggarkan puluhan ribu telah pun terjejas – walaupun data masih belum dikumpul.
“Terdapat pertambahan dalam perkahwinan kanak-kanak semasa tempoh sekatan ini. Pengangguran berlaku secara berleluasa. Keluarga tidak dapat mencukupkan belanja, maka mereka fikir cara terbaik adalah mengahwinkan anak perempuan mereka,” kata Rolee Singh, yang mengendali kempen ‘Hentikan Perkahwinan Kanak-Kanak.’
Muskaan, 15, berkata dia dipaksa berkahwin dengan lelaki berusia 21 tahun oleh ibu bapanya, yang bekerja sebagai tukang cuci jalan di bandar Varanasi dan mempunyai enam anak lain.
“Ibu bapa saya adalah miskin, apa lagi yang boleh mereka lakukan? Saya melawan tetapi akhirnya terpaksa mengalah,” jelas remaja itu sambil menangis.
Badan Selamatkan Kanak-Kanak telah pun memberi amaran bahawa keganasan ke atas budak perempuan dan risiko perkahwinan paksa, terutamanya di kalangan budak di bawah umur, ‘mungkin menimbulkan lebih ancaman daripada virus itu sendiri.’
Sementara pendidikan telah dialu-alukan sebagai tonggak dalam perjuangan menentang perkahwinan kanak-kanak, aktivis mengingatkan dengan sekatan memaksa ratusan juta kanak-kanak tercicir dari sekolah, budak perempuan di kawasan paling miskin di dunia akan terjejas teruk.
Pada awal bulan ini, 275 bekas pemimpin global, pakar pendidikan, ahli ekonomi menggesa kerajaan dan pertubuhan seperti Bank Dunia supaya memastikan kesan sampingan daripada koronavirus tidak mewujudkan ‘generasi COVID, merampas pendidikan dan peluang hidup adil daripada mereka.’
Di India, aktivis berkata terdapat pertambahan dalam perkahwinan paksa disebabkan keluarga melihat amalan tersebut sebagai penyelesaian kepada masalah kewangan berpunca daripada COVID-19, tanpa menyedari akibatnya untuk wanita muda.
“Kami juga melihat kanak-kanak berkahwin disebabkan pihak lain menawarkan wang atau bantuan sebagai tukaran. Keluarga berkenaan tidak memahami konsep penyeludupan, ia adalah trend membimbangkan,” kata aktivis Singh.
Agensi perancang keluarga Indonesia telah mengingatkan negara, telah pun menjadi tempat tinggal kepada 270 juta penduduk, mungkin melihat ledakan anak damit pada awal tahun depan disebabkan penutupan sekolah dan kekurangan akses pencegahan hamil.
Pada umur 18 tahun, Lia masih dianggap di bawah umur tetapi telah pun berkahwin dua kali. Perkahwinan pertamanya adalah secara paksa selepas dia dilihat bersendirian bersama seorang lelaki yang bukan muhrim, haram di rantau konservatif Sulawesi Barat di Indonesia di mana dia tinggal.
Komuniti di sana mendesak dia mengahwini lelaki itu meskipun perbezaan umur tiga dekad.
Dia berjaya melepaskan diri daripada situasi tersebut dan menemui cinta baharu, namun cita-citanya terpaksa ditunda sekali lagi.
Tanpa akses kepada nasihat perancangan keluarga, dia hamil semasa sekatan. Keluarganya mendesak dia mengahwini bapa berusia 21 tahun itu.
“Saya bercita-cita menjadi seorang pramugari,” kata remaja itu, yang meminta nama sebenarnya tidak digunakan.
“Namun dia gagal dan berakhir di dapur,” sampuk suami baharunya Randi, yang masih belum mengisytiharkan perkahwinan mereka kepada pihak berkuasa.
Indonesia, yang mempunyai salah satu kadar perkahwinan tertinggi di dunia menurut UNICEF, menambah umur yang dibenarkan untuk berkahwin dari 16 kepada 19 tahun untuk kedua-dua jantina pada tahun lalu dalam usaha untuk mengatasi masalah tersebut.
Namun terdapatnya kelemahan, mahkamah syariah tempatan boleh meluluskan perkahwinan sedemikian.
Di Vietnam, umur dibenarkan untuk berkahwin adalah 18 tahun, tetapi UNICEF berkata seorang dalam sepuluh budak perempuan berkahwin sebelum itu. Jumlah adalah dua kali ganda di kalangan kumpulan etnik.
Badan kebajikan tempatan Blue Dragon berkata mereka pernah melihat budak perempuan berusia 14 tahun berkahwin dan perkahwinan kanak-kanak meningkat sejak sekolah ditutup disebabkan pandemik.
May, 15, yang berasal dari puak bukit Hmong, berkahwin dengan teman lelaki berusia 25 tahun yang bekerja sebagai pekerja pembinaan pada Jun selepas hamil tatkala virus melanda negara.
Ibu bapanya tidak mampu menyaranya dan anak damit, maka dia berpindah ke ladang keluarga suaminya.
“Mereka adalah petani dan tidak mampu menyara kami,” jelasnya.
Sekarang, dia melakukan kerja rumah dan membantu menuai hasil tanaman.
“Saya tidak memikirkan tentang masa depan saya,” akuinya.
UNICEF berkata menamatkan perkahwinan kanak-kanak akan membantu memutuskan kitaran kemiskinan antara generasi.
Ia berkata: “Memperkasa dan mendidik budak perempuan membolehkan mereka memberikan jagaan lebih baik kepada anak mereka, membawa kepada keluarga lebih sihat, lebih kecil. Apabila budak perempuan dibenarkan menjadi budak perempuan, semua orang menang.” – AFP