LABUAN, 31 Dis – Walaupun kurang dikenali dalam dunia muay thai, namun Jian Kai Chee muncul Juara Super 4 Borneo Martial Arts Expo (BMAEX) 2018 di sini selepas menumbangkan peninju muay thai berumur 20 tahun Chew Zhi Kong dengan ‘knockout’ pusingan pertama malam tadi.
Sukan ekstrim antarabangsa Labuan itu berlangsung dari 28 hingga 30 Dis dengan sejumlah 250 peserta tempatan dan antarabangsa mengambil bahagian.
Terdahulu Chee dari Kuala Lumpur menumbangkan Fikri Rozan dari Kelab Labah Mas Baling dalam pertarungan kategori berat 72kg sebelum memasuki persaingan Super 4 Winner menentang Zhi Kong bagi perlawanan profesional muay thai International Sport Karate Association (ISKA).
Bagi kategori bawah 75kg pula, Juara World Boxing Federation (WBF) Asia-Pacific Light Heavyweight Hisyam Samsudin ‘Zephyrus’ ditumpaskan oleh peninju muay thai ternama dari Australia Marco Tentori ‘The Machine Gun’.
Hisyam memegang rekod 2-4-0 dalam ‘mixed martial arts’, manakala Marco pernah menewaskan empat bekas juara dunia dalam perlawanan’non-title’ sebelum ini.
Peninju profesional MMA termuda dari Filipina, yang memenang gelaran dalam kejohanan di Asia pada umur 19 tahun, Fritz Biagtan pula menewaskan pencabar dari Tim’s Muay Thai, Mardi Mansor@Acok kategori bawah 57kg dalam pusingan pertama dalam masa satu minit dan 14 saat untuk merangkul gelaran juara ISKA BMAEX. – Bernama
