(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Duduk Tahiyyat Akhir yang diakhiri dengan salam dan membaca Tahiyyat (Tasyahhud) adalah dua rukun sembahyang yang wajib disempurnakan.
Manakala membaca Tasyahhud Awal dan Duduk Tasyahhud (Tahiyyat) Awal pula merupakan dua daripada sunat ab‘adh.
Jika Tahiyyat Awal tertinggal atau sengaja ditinggalkan, tidaklah membatalkan sembahyang, akan tetapi sunat melakukan sujud Sahwi bagi menambal kekurangan tersebut.
Terdapat beberapa perkara yang sunat kita lakukan dalam sembahyang ketika Tahiyyat Akhir dan juga Tahiyyat Awal.
Antaranya adalah mengenai tempat letak kedua belah telapak tangan dan cara meletakkan jari-jari tangan, perkara sunat mengenai keadaan jari-jari tangan kiri dan kanan terutama sekali jari telunjuk dan ibu jari kanan, dan seterusnya masa untuk menaikkan dan menurunkan jari telunjuk kanan.

Kedudukan tangan ketika duduk Tahiyyat
Secara amnya, semasa duduk Tahiyyat Awal dan Akhir, disunatkan meletakkan kedua-dua belah tangan, yakni dua telapak tangan serta perut jari-jari, di atas kedua belah kaki (peha).
Tangan kanan diletakkan di atas peha kanan, manakala tangan kiri di atas peha kiri, sekira-kira hujung jari-jari tangan itu diletakkan berdekatan dengan hujung lutut atau tepi lutut.
Bagaimanapun tidaklah menjejaskan seseorang daripada mendapat ganjaran amalan sunat sekiranya hujung jarinya itu menyentuh atau mencecah lutut sepertimana dalam hadits yang akan disebutkan nanti.
Hikmah daripada anjuran meletakkan dua tangan di atas dua peha ialah supaya terhindar kedua tangannya itu daripada melakukan perkara sia-sia semasa duduk Tahiyyat dan duduk selainnya. Selain itu, posisi begini adalah lebih dekat kepada tawadhu‘.
Demikianlah juga keadaan atau kedudukan tangan dalam sembahyang semasa duduk di antara dua sujud dan duduk selainnya.
Kedudukan jari-jari kiri ketika duduk Tahiyyat
Jari-jari tangan sebelah kiri diletakkan di atas peha kiri dalam keadaan dihamparkan atau dibentangkan (tidak digenggam) menghala ke hadapan ke arah Qiblat, serta dirapatkan jari-jari tersebut (tidak terlalu renggang).
Tujuannya adalah untuk menjaga supaya hala ibu jari atau jari selainnya tidak terkeluar atau tersasar daripada arah Qiblat.
Cara atau kaifiyat meletakkan tangan ini merupakan ittiba‘. Yang dimaksudkan dengan ittiba‘ itu ialah mengikut perbuatan dan Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Hatta jika seseorang itu sembahyang di bahagian dalam bangunan Ka‘bah, dia juga dianjurkan untuk merapatkan kesemua jari-jarinya sedangkan dimaklumi bahawa jari-jarinya akan tetap menghala ke arah Qiblat sekalipun dia merenggangkannya.
Bagi sesiapa yang belum elok bacaan Tasyahhudnya, sunat baginya semasa dia duduk Tahiyyat untuk meletakkan tangannya menurut kaifiyat yang disebutkan di atas.
Demikian juga, menurut pendapat al-muttajah, tetap dituntut bagi orang yang sembahyang secara berbaring atau telentang jika dia boleh (terdaya) untuk menyempurnakannya.
Kedudukan jari-jari kanan ketika duduk Tahiyyat
Menurut pendapat al-mu‘tamad, jari-jari tangan sebelah kanan terlebih dahulu diletakkan di atas peha kanan dalam keadaan dihamparkan atau di bentangkan (tidak digenggam) menghala ke hadapan ke arah Qiblat sekira-kira hujung jari-jari kanan itu berdekatan dengan hujung lutut kanan sepertimana juga keadaan jari-jari tangan sebelah kiri seperti yang telah dijelaskan.
Setelah sempurna dibentangkan, kemudian barulah digenggam jari-jari kanan, iaitu jari paling kecil (kelingking), jari manis dan jari tengah tetapi tidak termasuk ibu jari dan jari telunjuk.
Jari telunjuk adalah jari di antara kedudukan ibu jari dan jari tengah.
Jari telunjuk kanan dianjurkan ke hadapan (tidak digenggam) menghala ke hadapan ke arah Qiblat (seperti isyarat menunjuk).
Bagi yang memiliki dua jari telunjuk kanan yang asal adalah memadai untuk melakukan isyarat dengan salah satu daripada keduanya.
Dalil dalam perkara ini adalah ittiba‘, sebagaimana yang disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin az-Zubair daripada bapanya Radhiallahu ‘anhuma yang maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika Baginda duduk berdo‘a (tasyahhud), Baginda meletakkan tangan kanannya di atas peha kanannya, manakala tangan kirinya di atas peha kirinya, dan Baginda membuat isyarat dengan jari telunjuk Baginda. Dan Baginda meletakkan ibu jari di atas jarinya yang tengah, manakala telapak tangan kiri menyentuh lutut kiri Baginda.” (Hadits riwayat Muslim)
Mengenai maksud ‘menyentuh lutut kiri’, sebagaimana yang tersebut di dalam hadits di atas, para ulama secara ijma‘ (sepakat) mengatakan bahawa sunat meletakkan telapak tangan di sisi (dekat) lutut ataupun di atas lutut (menyentuhnya) ataupun menutupi lutut.
Menaikkan jari telunjuk kanan
Setelah sempurna menggenggam jari kecil (kelingking), jari manis dan jari tengah serta dirapatkan ibu jari kepada jari telunjuk, serta jari telunjuk dibiarkan dalam keadaan dianjurkan ke hadapan (seperti isyarat menunjuk) menghala ke arah Qiblat.
Maka apabila sampai kepada bacaan syahadat, iaitu bacaan ‘Ashhadu Alla Ilaha Ilallah’, tatkala sampai pada huruf ‘hamzah’ pada perkataan ‘Ilallah’, maka sunat menaikkan (mengangkat) jari telunjuk pada ketika itu dan dihalakan ke hadapan dengan memastikan hujung jari telunjuk itu betul-betul tidak terkeluar daripada hala atau arah Qiblat.
Perbuatan menaikkan jari telunjuk tatkala sampai pada perkataan ‘Ilallah’ juga merupakan ittiba‘.
Diqashadkan (diniatkan) ketika jari telunjuk dinaikkan sebagai isyarat pembuktian terhadap keesaan Allah Ta‘ala dan berhimpunlah pada ketika itu tauhid qauli (ucapan), tauhid amali (amalan) dan tauhid i’tiqadi (hati).
Hikmah menggunakan jari telunjuk kanan dan bukan jari selainnya untuk isyarat kemudian mengangkatnya adalah kerana bahawasanya jari telunjuk kanan itu berhubung dengan urat hati. Perbuatan mengangkatkannya itu sebab bagi menghadirkan hati.
Letak ibu jari
Ketika melakukan isyarat dengan jari telunjuk kanan, ibu jari kanan boleh diletakkan dengan pelbagai cara sepertimana berikut:
1- Cara yang afdhal meletakkan ibu jari ialah ibu jari diletakkan di atas peha dan dirapatkan ibu jari dan jari telunjuk sekira-kira hujung ibu jari itu berada di bawah jari telunjuk dalam keadaan ibu jari itu dianjurkan ke hadapan sepertimana juga jari telunjuk.
2- Cara yang lain pula ialah ibu jari diletakkan di tepi jari telunjuk dan dianjurkan selaras dengan jari telunjuk.
3- Ibu jari digenggam, manakala hujung ibu jari itu berada di atas jari tengah.
4- Dibuat seperti satu lingkaran bulat dengan mempertemukan hujung ibu jari dengan hujung jari tengah
5- Diletakkan hujung jari tengah pada bahagian antara dua ruas ibu jari.
Yang pasti kesemua cara atau kaifiyat di atas tetap menepati Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam serta akan beroleh ganjaran Sunnah tersebut jika dilakukan, kerana kesemua cara tersebut telah sabit daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Pada suatu waktu Baginda melakukan dengan salah satu cara, manakala pada waktu yang lain Baginda melakukan cara yang lain pula.
Bagaimanapun ketekunan (muwazhabah) Baginda dengan cara yang pertama di atas menjadikannya sebagai cara yang afdhal antara kesemuanya.
Perkara sunat semasa jari telunjuk dinaikkan
Pada ketika jari telunjuk dinaikkan tatkala sampai pada huruf ‘hamzah’ pada perkataan ‘Ilallah’, adalah sunat menghalakan pandangan mata kepada jari telunjuk tersebut, sekalipun jari telunjuk tersebut tersembunyi umpamanya di sebalik sapu tangan, pakaian, tudung, telekung dan selainnya.
Pandangan mata pula sebaiknya tidak melampaui atau melebihi jari telunjuk tersebut.
Sunat memandang semata-mata kepada jari telunjuk yang dinaikkan secara berterusan sepanjang masa jari telunjuk tersebut dinaikkan.
Khusus dalam perkara ini, pada ketika ini dikecualikan bagi orang yang sembahyang daripada tuntutan menghalakan pandangan matanya ke arah tempat sujud.
Sekiranya jari telunjuk kanan terpotong, maka pandangan mata tidak lagi dihalakan ke arahnya akan tetapi dihalakan ke tempat sujud.
Setelah jari telunjuk kanan dinaikkan, adalah sunat membiarkannya berterusan dalam keadaan sedemikian dan tidak meletakkannya atau menurunkannya kembali sehinggalah tiba masa untuk berdiri untuk rakaat seterusnya, iaitu pada Tahiyyat Awal, atau sehinggalah selesai bacaan Tasyahhud dan hendak memberi salam.
Demikianlah menurut Imam Ibnu Hajar Rahimahullah bahawa jari telunjuk tidak diletakkan atau diturunkan sehinggalah selesai daripada Tasyahhud Akhir, iaitu sebaik sahaja berakhir Tasyahhud sebelum memberi salam yang pertama.
Makruh mengangkat jari selain dari jari telunjuk kanan sebagai ganti seperti mengangkat jari-jari kanan atau jari telunjuk kiri sekalipun jari telunjuk kanan terpotong.
Sekiranya jari telunjuk kanan itu terpotong atau sakit, maka gugurlah tuntutan sunat ini (isyarat dengan jari telunjuk kanan).
Ini kerana menurut Sunnah, melakukan isyarat itu adalah dengan jari telunjuk kanan.
Adapun melakukan isyarat dengan jari telunjuk kiri adalah dikira meluputkan perkara sunat kerana menghamparkan atau membentangkan jari-jari tangan kiri di atas peha hukumnya adalah sunat.
Selain itu, tidak disunatkan untuk menaikkan atau mengangkat jari telunjuk kanan tatkala membaca perkataan ‘Ilallah’ di luar daripada sembahyang.
Perlu diketahui, jika menurut pendapat yang mengatakan meletakkan dua telapak tangan di atas dua peha ketika duduk dalam sembahyang merupakan perkara sunat dalam sembahyang, lalu sekiranya seseorang meletakkan telapak tangannya bukan di atas dua peha, seperti meletakkannya di atas lantai ataupun dia meletakkan telapak tangan di atas peha akan tetapi jauh daripada lutut, maka dalam keadaan ini dia tetap disunatkan melakukan isyarat dengan jari telunjuk kanan.
Ini kerana kesemua suruhan ini merupakan amalan sunat yang tersendiri dan berasingan.