NIGERIA – Walaupun hujan turun membasahi pasar Balogun di Lagos, Ajoke tetap mengambil masa untuk memilih fabrik tie-dye yang dikenali sebagai adire yang ingin dihadiahkannya.
Tekstil popular yang dicelup secara tradisional dengan warna indigo adalah lambang budaya orang Yoruba, salah satu kumpulan etnik majoriti Nigeria.
Kain itu biasanya digunakan untuk pakaian tradisional yang sering dipakai oleh warga Nigeria untuk majlis khas, perkahwinan dan pesta.
Pelanggan berusia 21 tahun itu meluncurkan jarinya pada fabrik berwarna cerah untuk membezakan kapas tradisional Nigeria daripada versi poliester buatan China.
“Tak mahal pun,” kata Ajoke sambil mengambil kain buatan China bercorak ungu.
Ia berharga 3,300 naira (sekitar AS$2.20), separuh daripada harga fabrik keluaran tempatan.
Ketika negara paling ramai penduduk di Afrika bergelut dengan inflasi yang tinggi, produk adire tiruan dari China telah menjadi pilihan yang menarik.
Tetapi tekstil yang diimport itu mencabar industri pakaian yang telah lama bertapak di Nigeria, kata pengeluar dan peniaga.
Bandar barat daya Abeokuta yang turut digelar Ibukota Adire, adalah rumah kepada hampir 2,000 peniaga dan pengeluar, menurut data kerajaan.
Somodale Akomo Amosa, 86, presiden pasar adire yang luas di bandar itu, berkata dia berasa kecewa menyaksikan persaingan Cina yang bermula kira-kira 10 tahun lalu.
“Pendapatannya telah berkurangan selama ini. Dia hanya menjual lima kain dalam 10 hari,” kata salah seorang anak perempuan Amosa.
Istimewanya kain adire ini adalah dihasilkan menggunakan teknik tie-dye.
Kain disimpul dan dilipat dengan tangan sebelum dicelup untuk menghasilkan kecerunan warna dan bentuk, kata Tunde M. Akinwumi, profesor bersara dari bidang reka bentuk tekstil Afrika dan juga pengarang buku tentang adire.
Walaupun proses penghasilan adire sukar, Amosa menolak idea pengeluar adire Nigeria untuk menggunakan mesin untuk membantu mengurangkan kos membuat fabrik mereka, seperti yang dilakukan oleh orang Cina.
Proses itu “akan merosakkan tradisi dan keaslian produk”, kata Amosa yang juga salah seorang daripada peniaga adire yang tidak akan menawarkan harga lebih murah di antara barangan mereka.
Selain persaingan dari China, dia menyalahkan iklim ekonomi di negara itu yang menghalang orang ramai daripada membeli kain tradisional itu.
Nigeria dicengkam oleh krisis kos sara hidup yang paling teruk dalam beberapa tahun selepas Presiden Bola Ahmed Tinubu memperkenalkan pembaharuan ekonomi yang sukar apabila beliau berkuasa setahun lalu.
Menamatkan subsidi bahan api dan mengapungkan mata wang dijangka meraih faedah dalam jangka panjang tetapi langkah itu telah menaikkan kos bahan api dan sara hidup serta menurunkan nilai naira secara mendadak.
Sesetengah peniaga fabrik seperti Christiana Morenikeji Ilesanmi merasakan mereka tiada pilihan.
“Awda menjual lebih banyak adire buatan China, kerana ia lebih murah. Itu membuatkan kami berasa sedih,” kata lelaki berusia 56 tahun itu, yang membeli bekalan daripada pemborong di bandar Lagos.
“Semua orang membelinya,” tambahnya lagi.
Dengan hanya berjalan kaki beberapa minit dari pasar, pusat pengeluaran adire utama di Abeokuta turut boleh dirasai kesannya.
Bilangan pelawat yang membeli terus dari pusat itu semakin berkurangan, kata seorang peniaga berusia 55 tahun.
“Sebelum ini, ramai yang datang ke sini untuk menempah pakaian untuk majlis perkahwinan atau majlis istimewa, tetapi sekarang tidak begitu,” katanya.
Untuk membantu industri itu, presiden Nigeria mengumumkan pada Mac bahawa ia akan memperuntukkan 400 peniaga dengan kira-kira 200 ruang kedai pada kadar yang lebih rendah di pasaran adire yang luas di Abeokuta, di bawah projek bantuan perniagaan nasional.
Olusegun Obasanjo, bekas ketua negara dua kali Nigeria, menggesa pihak berkuasa tahun lalu untuk menghentikan import adire China tiruan.
Namun, tiada tindakan diambil setakat ini.
Pada tahun 2020, kerajaan negara dan negeri di Ogun di mana Abeokuta berada telah melancarkan laman web untuk membolehkan pedagang menjual adire yang ‘asli dan hanya yang terbaik’ mereka di dalam dan luar negara.
Bagi presiden pasaran Amosa, mengekalkan keaslian adire adalah satu kebanggaan dan tradisi.
“Pengeluaran Adire adalah warisan keluarga kepada kami, manakala yang lain pula telah datang untuk mempelajarinya daripada kami,” katanya.
“Ia adalah kraf kami, ia adalah kraf saya,” tegasnya lagi. – AFP