Tuesday, April 22, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kain rentang tulisan khat jadi tarikan

    KUALA LUMPUR, 21 APRIL – Permintaan seorang rakan yang mahu beliau menghasilkan kain rentang perkahwinan dalam bentuk kaligrafi menjadi titik permulaan buat Yusairah Hazrami mengembangkan perniagaannya yang diusahakan sejak 2018.

    Menariknya, setiap kain rentang yang dihasilkan oleh ibu kepada tiga cahaya mata itu menggunakan tulisan tangan secara bebas, tanpa bantuan mesin cetak atau rekaan digital, menjadikan hasil karyanya unik.

    “Saya mula belajar menulis khat ketika menuntut di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Shah Alam dan berpeluang mengikuti kelas khat khas yang diajar oleh seorang ustaz daripada Yayasan Restu, sebuah institusi terkenal dalam bidang penulisan mushaf al-Quran dan khat,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    Pada peringkat awal, Yusairah, 29, hanya menghasilkan tulisan khat bagi frasa pendek seperti ‘Assalamualaikum’ dan nama pelanggan pada barangan kecil seperti beg kanvas, penanda buku dan bekas pensel yang dijual secara dalam talian.

    Yusairah bersama antara hasil karyanya. – GAMBAR OLEH YUSAIRAH HAZRAMI

    Namun, bakatnya mula mencuri perhatian apabila video hasil kerjanya yang dimuat naik menerusi akaun TikTok, sekali gus melonjakkan permintaan terhadap kain rentang tulisan tangannya.

    Yusairah menawarkan kain rentang dalam dua saiz utama, iaitu 1.5 meter lebar dan dua meter tinggi (potret) berharga RM200 serta 1.5 meter lebar dan satu meter tinggi (landskap) pada harga RM110.

    Menggunakan kain belacu, kesemua tulisan dihasilkan secara bebas menggunakan tiga jenis berus pelbagai saiz dan cat akrilik hitam.

    “Pada peringkat awal, saya mulakan dengan membuat lakaran menggunakan pensel, tetapi lama-kelamaan tangan sudah terbiasa dengan lenggok tulisan, jadi saya terus menulis menggunakan berus mengikut kreativiti sendiri.

    Antara peralatan yang digunakan. – GAMBAR OLEH YUSAIRAH HAZRAMI

    “Jika ada kesilapan kecil, saya akan tampal kain tambahan, namun jika kesilapan besar, saya akan ganti dengan kain baharu,” katanya yang pernah menyiapkan kain rentang bersaiz 1.5 meter tinggi dan empat meter lebar untuk sebuah acara komuniti.

    Kini, beliau mampu menyiapkan  lapan hingga 10 kain rentang sehari bergantung pada panjang ayat dan kerumitan reka bentuk khat yang diminta pelanggan.

    Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, anak kelahiran Tanah Merah, Kelantan itu turut mengambil pembantu sambilan yang berperanan melukis corak atau hiasan tambahan pada kain rentang bagi menyeimbangkan susun atur keseluruhan rekaan.

    Tempahan yang diterima bukan sahaja untuk majlis perkahwinan atau pertunangan, tetapi  merangkumi pelbagai acara termasuk sambutan hari lahir, perjumpaan keluarga dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

    Mengakui pengurusan masa sebagai cabaran utama, Yusairah yang juga seorang guru di sebuah sekolah agama swasta, tetap komited memastikan setiap tempahan disiapkan mengikut jadual.

    “Saya berharap orang ramai, terutamanya anak muda, akan lebih menghargai tulisan khat kerana seni ini merupakan identiti dan warisan kita. Saya mahu menjadikan seni khat sesuatu yang kontemporari dan dekat di hati masyarakat,” katanya. – Bernama

    Atas & Bawah: Antara hasil karya Yusairah. GAMBAR-GAMBAR OLEH YUSAIRAH HAZRAMI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda