KUALA LUMPUR – Bersempena dengan ketibaan Tahun Ular yang disambut oleh kaum Tionghua, kebanyakan barangan termasuk aksesori fesyen, mengetengahkan rona merah digandingkan dengan motif reptilia itu yang dipercayai oleh masyarakat Cina sebagai simbol kelahiran semula, kekuatan dan kesuburan.
Mengambil peluang daripada trend itu, usahawan dalam talian Chin Zhi Yin, 25, menyertakan patung ular yang dikait sendiri sebagai produk jualannya.
Menerusi kreativitinya, anak muda ini mengubah penampilan ular yang umumnya ‘menggerunkan’ dan ‘menggelikan’ menjadi patung-patung comel sehingga mampu mencetuskan keinginan orang ramai untuk memilikinya.
“Tahun Ular begitu bermakna buat kaum Cina kerana membawa maksud yang mendalam, antaranya kebijaksanaan, misteri dan kesuburan. Disebabkan oleh maknanya begitu indah, saya cuba hasilkan patung ular yang comel bersaiz 10 dan 16 sentimeter, dikait menggunakan pelbagai warna dengan harapan dapat membawa tuah kepada pembeli, sama ada untuk diri sendiri atau sebagai hadiah,” katanya kepada Bernama.
Bagi menambahkan kecomelan ular-ular terbabit, bekas auditor yang mula bergiat sebagai usahawan dalam talian sejak empat bulan lalu meletakkan topi berbeza di kepala patung ular yang membawa maksud tersendiri, seperti tuah, kemewahan dan lain-lain.
“Gabungan ular dengan topi menjadi lambang baik untuk kami (masyarakat Tionghua), membawa harapan untuk satu kehidupan lebih bagus pada hari-hari mendatang.
“Jadi, diharapkan orang yang membeli patung ini, sama ada untuk dirinya atau orang lain, akan menerima keberkatan dan memperoleh banyak ‘ong’ (tuah),” katanya.
Yang lebih menarik, lelaki kelahiran Johor ini hanya mengambil masa kira-kira sebulan untuk mempelajari seni kait tersebut selepas melihat adiknya mengait patung untuk majlis apresiasi sekitar November lepas.
“Saya ternampak adik membuat patung semasa dia tamat pengajian dan nampak sangat comel. Jadi, saya terfikir untuk buat patung ular bersempena dengan Tahun Baharu Cina,” katanya yang mula menjual patung ular itu sejak dua minggu lepas.
Peluang membuat patung ular kait turut direbut oleh Niki Loo, namun dengan sentuhan berbeza apabila dia menghasilkan boneka ular di dalam beg.
“Saya dapat idea untuk kait ular di dalam beg kerana bagi masyarakat Tionghua beg adalah bertuah. Jika digabungkan ular dan beg maka kelihatan sangat bagus untuk Tahun Baharu Cina, iaitu boleh menjadi lebih bertuah.
“Kraf ini sesuai digantung di rumah atau diletakkan di dalam pasu bunga. Berat satu patung ular sekitar 120g dan saya ambil masa dua hingga tiga jam bagi menyiapkan satu patung berukuran 23cm,” katanya yang menjual kraf tangan berkenaan pada harga RM20. – Bernama