Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MAC – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan sentiasa menyokong dan menyambut baik inisiatif yang mempromosikan Negara Brunei Darussalam sebagai satu destinasi pelancongan sukan yang eksklusif, unik dan berdaya tahan.
“Mengetengahkan Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien (SHOAS) sebagai lokasi acara sukan antarabangsa seperti maraton dan perlumbaan basikal sudah setentunya merupakan satu cadangan yang sangat dialu-alukan,” jelas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad dalam menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee mengenai sama ada pihak kementerian bercadang untuk menganjurkan acara sukan tahunan seperti maraton atau perlumbaan basikal di Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien.
Selain menyemarakkan industri ekonomi dan pelancongan, acara sukan seperti itu, sudah setentunya mempromosi gaya hidup sihat dan memberi impak positif kepada ekonomi negara serta dapat memperkukuhkan lagi perpaduan masyarakat di negara ini, tambah Yang Berhormat Dato semasa Persidangan Majlis Mesyuarat Negara Hari Keempat yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Beliau menerangkan lanjut bahawa satu jawatankuasa telah pun ditubuhkan untuk melaksanakan kajian terperinci dan penilaian lanjut mengenai kesesuaian termasuk keselarasan piawaian antarabangsa dari sudut teknikal, sudut logistik dan sudut keselamatan pelaksanaan serta pengendalian acara yang besar.
“Apabila kesemua perkara ini nanti dipenuhi, maka satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan mengenai perkara ini,” tambahnya.
