Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JAN – Sebagai satu inisiatif Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) mengukuhkan perlindungan pengguna kewangan, satu kaji selidik akan dikendalikan mengenai Tahap Kepuasan Pelanggan Bank bermula 3 Januari sehingga 31 Mac kelak.
Menurut kenyataan dikeluarkan BDCB, kaji selidik dengan kerjasama Persatuan Bank-bank Brunei (BAB) itu bertujuan mengetahui pengalaman orang ramai mengenai perkhidmatan bank-bank, kefahaman pengguna kewangan terhadap proses dalaman pihak bank serta bahagian-bahagian yang memerlukan penambahbaikan.
Hasil kaji selidik itu dijangka membantu pihak BDCB dan bank-bank untuk lebih memahami keperluan pengguna dan seterusnya menyusun strategi yang bersesuaian. Peserta yang terpilih akan diberikan pautan bagi kaji selidik berkenaan termasuk senarai Soalan-soalan Lazim Ditanya (FAQs) oleh bank masing-masing. Bagi sama-sama menyokong inisiatif dan mencapai objektif kaji selidik berkenaan, peserta adalah digalakkan untuk mengambil bahagian dan mengongsi pengalaman sebenar mereka dengan jujur dan tepat apabila melengkapkan kaji selidik itu.
Maklumat yang akan dipohonkan dalam kaji selidik berkenaan melibatkan butiran responden, maklumat asas mengenai pemilikan akaun dan transaksi kewangan serta tahap kepuasan terhadap produk dan perkhidmatan bank.
Orang ramai juga dinasihatkan untuk berwaspada terhadap taktik penipuan kewangan daripada sumber yang tidak rasmi, kaji selidik berkenaan tidak akan memohon sebarang maklumat penting seperti nombor bank akaun dan kata laluan responden. Bagi maklumat lanjut mengenai kaji selidik itu, bolehlah menghubungi pihak Isu Pengguna Kewangan, BDCB melalui talian 2380007 atau e-mel, fci@bdcb.gov.bn.