Wednesday, July 3, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Kaji Selidik Persepsi Awam ukur kefahaman awam tentang BDCB

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JUN – Dengan matlamat untuk memahami tanggapan dan kefahaman orang ramai mengenai Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) dari segi peranan serta kepentingannya, BDCB akan menjalankan Kaji Selidik Persepsi Awam (PPS) 2024 ke atas orang ramai buat julung kalinya dari 19 Jun hingga 4 Julai.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BDCB, di sini, kaji selidik itu juga bermatlamat untuk mendapatkan gambaran keseluruhan mengenai hubungan BDCB dengan orang ramai, mengukur petunjuk-petunjuk reputasi termasuk kefahaman am, disenangi, keyakinan atau kepercayaan dan sokongan serta mengetahui dengan lebih lanjut pendapat orang ramai terhadap usaha dan inisiatif komunikasi yang pernah BDCB laksanakan sebelum ini.

    Kaji selidik itu akan mengukur lima petunjuk utama untuk menilai pendapat orang ramai terhadap tahap penglibatan BDCB iaitu kefahaman am di mana ia merujuk kepada tahap kefahaman orang ramai terhadap peranan dan tanggungjawab BDCB, disenangi yang merujuk kepada tahap pengaruh positif BDCB dan perkhidmatannya, keyakinan dan kepercayaan yang merujuk kepada tahap keyakinan dan kepercayaan orang ramai bahawa BDCB akan memenuhi peranan dan tanggungjawabnya dengan cekap dan integriti dan demi kebaikan orang ramai.

    Petunjuk ketiga adalah sokong di mana ia merujuk kepada kemungkinan orang ramai akan memberi ulasan atau komen yang positif mengenai BDCB serta akhir sekali adalah usaha komunikasi yang merujuk kepada tanggapan orang ramai terhadap usaha BDCB untuk berhubung dengan mereka.

    Kaji selidik berkenaan akan memberi peluang kepada BDCB untuk mendapatkan maklum balas daripada orang ramai mengenai sebarang jurang komunikasi yang boleh diperbaiki.

    Gambar Canva

    Hasil daripada kaji selidik berkenaan seterusnya akan membantu dalam penyediaan dasar dan strategi komunikasi yang berkaitan pada masa hadapan.

    BDCB PPS 2024 akan dijalankan secara dalam talian dan boleh didapatkan melalui platform rasmi BDCB termasuk laman sesawang BDCB, www.bdcb.gov.bn serta media sosial rasmi iaitu Instagram @centralbank.brunei dan BDCB Linkedin.

    Bagi sama-sama menyokong dan menjayakan inisiatif itu, para peserta digalakkan untuk menjawab kaji selidik berkenaan dengan jujur dan tepat. Semua maklumat yang dikumpulkan akan dianggap sulit.

    Seterusnya, BDCB tidak akan meminta sebarang maklumat peribadi selain daripada data demografi, iaitu jantina, kumpulan umur, bangsa, daerah tempat tinggal, tahap pendidikan tertinggi dan status serta sektor pekerjaan.

    Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada akan kaji selidik yang menyamar sebagai BDCB yang mungkin meminta maklumat peribadi dan kewangan seperti butiran akaun bank, butiran kad kredit/debit dan sebagainya.

    Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai BDCB PPS 2024, boleh menghubungi BDCB di talian 8318388 atau e-mel kepada corpcomms@bdcb.qov.bn.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Kanak-kanak hilang disyaki diserang buaya di Australia

    SYDNEY, 3 JULAI - Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang hilang di kawasan terpencil di utara Australia mungkin ‘diserang buaya’, kata polis pada hari...