Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 APRIL – Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) hari ini memaklumkan pelanjutan tempoh pengendalian kaji selidik Tahap Kepuasan Pelanggan Bank sehingga 31 Mei 2023.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, BDCB menjelaskan bahawa kaji selidik yang dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Bank-bank Brunei (BAB) itu merupakan salah satu inisiatifnya untuk mengukuhkan perlindungan pengguna kewangan di mana ia antara lain membantu dalam memahami pengalaman pelanggan bank berhubung kait perkhidmatan perbankan.
Selain itu, ia mengukur tahap kefahaman pelanggan bank terhadap proses dalaman bank-bank dan mengenal pasti bidang penambahbaikan.
Hasil kaji selidik itu akan membantu BDCB dan bank-bank untuk lebih memahami keperluan pengguna kewa-ngan seterusnya menghasilkan strategi yang bersesuaian pada masa akan datang.
Menurut BDCB, bank-bank akan mengagihkan kaji selidik tersebut melalui pesanan ringkas (SMS) atau e-mel kepada pelanggan yang mengunjungi cawangan mereka atau pelanggan yang terpilih selain pelanggan juga akan dimaklumkan melalui panggilan telefon.
Antara maklumat yang dipohonkan adalah butiran responden, maklumat asas mengenai pemilikan akaun dan transaksi kewangan serta tahap kepuasan terhadap produk dan perkhidmatan perbankan.
Kaji selidik berkenaan tidak akan meminta maklumat sulit seperti nombor akuan bank dan kata laluan, di mana orang ramai dinasihatkan untuk berwaspada terhadap taktik penipuan kewangan daripada sumber yang tidak rasmi dan jika ragu, sila hubungi bank masing-masing untuk mendapatkan pengesahan.
Sehubungan itu, peserta digalakkan untuk menjawab kaji selidik dengan jujur dan tepat dalam sama-sama menyokong dan menjayakan inisiatif berkenaan.
Untuk pertanyaan atau maklumat lanjut, sila hubungi Isu Pengguna Kewangan, BDCB di talian 2380007, 8380007 atau e-mel fci@bdcb.gov.bn


