Friday, November 15, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Kaji semula gaji penjawat awam peringkat rendah’

    PUTRAJAYA, 1 MEI – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sudah sampai masanya penilaian dan kajian semula dibuat terhadap gaji penjawat awam yang tidak memuaskan khususnya di peringkat rendah.

    Anwar yang juga Menteri Kewangan pada sambutan Hari Pekerja 2023 bertema ‘Pekerja Pemangkin Wadah Malaysia MADANI’ di sini hari ini berkata beliau mengambil maklum
    tentang gaji penjawat awam yang tidak memuaskan khususnya di peringkat rendah.

    Beliau berkata kerajaan meneliti tuntutan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) umpamanya mengenai gaji penjawat awam.

    “Bagi saya tempoh setahun, kalau ada trend peningkatan hasil, yang utama adalah upah penjawat awam.

    “Sementara itu, segala bonus dan apa-apa kemudahan termasuk kesihatan, pendidikan yang harus kita dibantu, saya akan segerakan sebaik sahaja ada peruntukan,” katanya.

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama warga pekerja semasa sambutan Hari Pekerja 2023 bertemakan Pekerja Pemangkin Wadah Malaysia MADANI di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). – Bernama

    Pada majlis itu, Anwar turut mengumumkan peruntukan tambahan RM1 juta masing-masing kepada MTUC dan Cuepacs bagi memperkemas pengurusan kesatuan sekerja itu.

    Anwar berkata beliau tidak mahu ketegangan antara kesatuan sekerja dengan kerajaan berhubung tuntutan dan rungutan yang dihadapi golongan pekerja.

    Beliau turut meminta Menteri Sumber Manusia dan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia memberi ruang sepenuhnya kepada MTUC dan Cuepacs untuk berbincang dan berunding.

    “Biar ada rundingan majikan dan pekerja dahulu. Sebelum ini ada menteri yang enggan jumpa kesatuan. Saya tidak mahu ini berlaku dalam pentadbiran saya,” katanya.

    Beliau berkata kerajaan juga akan mengumumkan pelbagai perubahan yang sedang dirangka bagi meningkatkan mutu perkhidmatan dan keupayaan pekerja daripada semasa ke semasa.

    Sementara itu, Anwar berkata kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada masalah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan peneroka bagi memastikan tiada kelompok yang tercicir. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda