KOTA SAMARAHAN, 1 APRIL – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam akan mengkaji semula undang-undang yang berkaitan dengan cara mengatasi pencemaran plastik di Malaysia.
Menteri berkenaan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, undang-undang yang sedia ada bersifat fragmented law, iaitu pelaksanaannya bergantung kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) mengikut kesesuaian lokaliti serta konteks di kawasan masing-masing.
“Kementerian sedang melihat bagaimana di peringkat dunia melalui satu perjanjian plastik (dari segi dasar menguruskan), kita melihat bagaimana kerajaan Persekutuan juga dapat menggubal perundangan bagi mengatasi masalah pencemaran plastik ini.
“Bagaimana kita nak menjadikan penggunaan plastik ini lebih lestari? Sama ada dengan pengurangan penggunaan plastik sekali guna, plastik yang boleh biodegradasi yang diperbuat daripada bahan bahan organik ataupun alternatif lain untuk menggantikan penggunaan plastik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi dialog ‘Pathways to Plastic Neutrality: Collaborative Action and Innovative Solution’ anjuran Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan Yayasan Hijau Malaysia pada hari ini.
NiK Nazmi berkata usaha mengatasi pencemaran plastik disifatkan kurang efektif, walaupun pelbagai usaha dilakukan, isu pencemaran tetap menjadi masalah utama Malaysia. – Bernama
