Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kajian: 15 juta diancam banjir glasier

    WASHINGTON, 9 FEB – Ketika glasier cair dan mengalirkan sejumlah besar air ke tasik berhampiran, 15 juta penduduk di seluruh dunia kini diancam ledakan banjir mendadak, menurut satu kajian baharu.

    Lebih separuh daripada mereka yang hidup diancam ledakan banjir tasik glasier berada di empat negara: India, Pakistan, Peru dan China, menurut kajian dalam jurnal Nature Communications. Kajian kedua, menunggu penerbitan dalam jurnal itu, mengkatalogkan lebih daripada 150 ledakan banjir glasier yang dicatat dalam sejarah.

    Ia merupakan ancaman yang jarang difikirkan oleh penduduk Amerika dan Eropah, namun 1 juta orang tinggal dalam lingkungan 10 kilometer dari tasik glasier, menurut kajian.

    Saintis berkata setakat ini, perubahan iklim nampaknya tidak menyebabkan banjir berlaku secara lebih kerap, tetapi ketika glasier menyusut akibat pemanasan, jumlah air dalam tasik meningkat, menjadikannya lebih berisiko sama seperti dalam situasi apabila empangan pecah.

    “Kami menyaksikan tasik glasier mencetuskan banjir mendadak sebelum ini yang membunuh ribuan orang dalam satu banjir,” kata penulis kajian Tom Robinson, saintis risiko bencana di Universiti Canterbury di New Zealand. “Dan dengan perubahan iklim, glasier cair mendorong tasik berkenaan menjadi semakin besar, berpotensi menjadi tidak stabil.”

    Dan Shugar, ahli sains geologi di Universiti Calgary berkata kebanyakan risiko bergantung pada jumlah penduduk yang menetap di zon banjir glasier.

    Kawasan Khyber Pakhtunkhwa di Pakistan, utara Islamabad telah diletakkan dalam senarai teratas.

    “Ia amat teruk kerana terdapat ramai orang dan mereka amat mudah terdedah disebabkan mereka tinggal di lembah di bawah tasik,” kata Robinson. – AP

    Bongkah ais kelihatan terpisah daripada Glasier Perito Moreno di Tasik Argentina, Taman Negara Los Glacieres, berdekatan El Calafate, di rantau Patagonia, Argentina. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda