CANBERRA, 4 FEB – Penyelidikan yang diketuai oleh agensi keselamatan nuklear dan radiasi Australia tidak menemui sebarang kaitan antara penggunaan telefon bimbit dengan pelbagai jenis kanser, lapor Xinhua.
Penyelidikan yang ditaja oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan diterbitkan pada Selasa itu mendapati tiada kaitan antara pendedahan gelombang radio daripada telefon bimbit dengan pelbagai jenis kanser termasuk leukemia, limfoma serta kanser tiroid dan rongga mulut.
Ia merupakan kajian semakan sistematik kedua yang dikendalikan oleh Agensi Perlindungan Radiasi dan Keselamatan Nuklear Australia (ARPANSA) bagi pihak WHO.
Kajian pertama yang diterbitkan pada September 2024 meneliti kaitan antara penggunaan telefon bimbit dengan kanser otak dan kanser lain di bahagian kepala dan mendapati tiada hubungan antara keduanya.
Ketua penyelidik bagi kedua-dua kajian, Ken Karipidis yang juga penolong pengarah Penilaian Kesan Kesihatan di ARPANSA berkata kajian baharu ini menilai semua bukti yang ada mengenai kaitan antara telefon bimbit, menara telefon bimbit dan kanser.
Beliau berkata penyelidik tidak menemui sebarang kaitan antara pendedahan gelombang radio dengan pelbagai jenis kanser, namun keputusan kajian ini tidak dapat disahkan sepenuhnya seperti kajian mengenai kanser otak.
“Ini kerana tidak banyak bukti mengenai hubungan antara jenis-jenis kanser ini dengan pendedahan gelombang radio daripada teknologi tanpa wayar,” katanya.
Saintis ARPANSA, Rohan Mate yang turut menyumbang kepada kajian itu berkata hasil kajian ini akan, “menambah kepada pengetahuan orang ramai mengenai teknologi tanpa wayar dan kanser.”
Kedua-dua kajian semakan sistematik ini akan menjadi asas bagi penilaian terkini WHO mengenai kesan kesihatan akibat pendedahan gelombang radio. – Bernama/Xinhua