CANBERRA, 14 OGOS – Para penyelidik Australia telah membuat penemuan baharu mengenai gaya hidup Neanderthal, mendapati manusia kuno berkenaan memburu haiwan daripada bison hingga arnab.
Dalam satu kajian yang diterbitkan hari ini, sekumpulan ahli arkeologi mendedahkan gambaran baharu tentang cara hidup Neanderthal yang hidup antara 100,000 dan 65,000 tahun dahulu.
Diketuai Sofia Samper Carro, ahli arkeologi dari Australian National University (ANU), pasukan itu mengumpulkan ratusan ribu artifak dari tapak Abric Pizarro di timur laut Sepanyol di kaki bukit pergunungan Pyrenees selatan.
Abric Pizarro adalah salah satu daripada beberapa tapak di seluruh dunia yang bertarikh dari 100,000 hingga 65,000 tahun yang lalu satu tempoh yang digelar Peringkat
Isotop Marin (MIS) 4 yang kurang diketahui.
Dengan menganalisis artifak-artifak termasuk alat-alat batu dan tulang haiwan, penyelidik mendapati bahawa Neanderthal tahu cara terbaik untuk mengeksploitasi kawasan dan wilayah itu serta berdaya tahan melalui keadaan iklim yang teruk.
“Penemuan mengejutkan kami di Abric Pizarro menunjukkan Neanderthal mampu menyesuaikan diri,” kata Samper Carro dalam satu siaran media.
“Tulang-tulang haiwan yang kami dapati menunjukkan bahawa mereka berjaya mengeksploitasi fauna di sekeliling, memburu rusa merah, kuda dan bison, tetapi juga memakan penyu dan arnab air tawar, yang membayangkan tahap perancangan yang jarang dipertimbangkan untuk Neanderthal.”
Beliau berkata penemuan itu mencabar kepercayaan meluas bahawa Neanderthal hanya memburu haiwan-haiwan besar. – Xinhua