Tuesday, October 22, 2024
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kajian Australia temui hubungan genetik antara isipadu otak dan gangguan

    SYDNEY, 22 OKT – Kajian berskala besar tentang isi padu otak oleh sebuah institut Australia telah mendedahkan terdapat kaitan antara varian genetik dalam saiz dan keadaan otak termasuk penyakit Parkinson.

    Kajian yang diterbitkan hari ini oleh Institut Penyelidikan Perubatan QIMR Berghofer Australia, menemui beratus-ratus varian genetik yang terlibat dalam isi padu otak yang turut ditemui pada orang yang mengalami gangguan neurologi seperti Parkinson dan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).

    Ketua projek penyelidikan dari QIMR Berghofer, Miguel Renteria berkata penemuan itu menunjukkan bahawa beberapa varian genetik yang mempengaruhi struktur otak juga mempengaruhi risiko dalam pertumbuhan penyakit berkaitan otak.

    Diketuai oleh Renteria dan rakan sekerja QIMR, Luis Garcia-Marin, pasukan antarabangsa yang terdiri daripada 189 saintis itu telah menganalisis data DNA dan imbasan otak daripada 76,000 peserta di 19 negara.

    Mereka memerhatikan 254 varian genetik yang mempengaruhi saiz struktur otak seseorang dan kemudian mengkaji sama ada varian tersebut turut terlibat dalam risiko gangguan perkembangan, psikiatri dan neurologi.

    “Varian genetik yang dikaitkan dengan isi padu otak yang lebih besar di kawasan otak utama juga meningkatkan risiko penyakit Parkinson, manakala varian yang dikaitkan dengan isi padu otak yang lebih kecil di kawasan utama dikaitkan dengan peningkatan risiko ADHD,” kata Renteria dalam siaran media.

    “Penemuan ini menunjukkan bahawa pengaruh genetik yang menyokong perbezaan individu dalam struktur otak mungkin menjadi asas untuk memahami punca gangguan berkaitan otak, ” katanya.

    Renteria menyifatkan penyelidikan itu sebagai langkah yang perlu untuk memahami dan akhirnya merawat keadaan neurologi dengan lebih berkesan dan Garcia-Marin juga berkata ia mewakili satu langkah lebih dekat untuk merawat penyakit-penyakit berkaitan pada masa hadapan.

    Kajian berkenaan turut menggunakan data pengimejan dan genetik daripada beberapa konsortium antarabangsa. – Xinhua

    Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda